KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, PU Rahmat Ikhsan menegur tindakan segelintir pihak yang melabel Universiti Malaya (UM) sebagai “Universiti Maksiat” susulan isu teater yang tular, dengan menyifatkan gelaran tersebut sebagai keterlaluan.
Menerusi satu hantaran di laman Threads, beliau menegaskan bahawa institusi berkenaan masih mempunyai banyak program berilmu yang telah melahirkan golongan cendekiawan, khususnya melalui Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (API).
“Melabel UM sebagai universiti maksiat adalah keterlaluan, masih banyak program berilmu dan API adalah lubuk atau rahim melahirkan ramai cendekiawan,” katanya.
Dalam masa sama, PU Rahmat berkata insiden berkenaan wajar dijadikan sebagai peringatan kepada pihak universiti untuk menilai semula dasar serta aspek pemantauan agar kejadian sama tidak berulang.
“UM wajar mengambil kes ini sebagai ‘wake-up call’ dan mengubah polisi,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak terlalu cepat menghukum sehingga menjejaskan reputasi keseluruhan institusi pendidikan tersebut.
“Sedikit kesalahan jangan meruntuhkan segala kebaikan. Berpada-padalah wahai umat kerana kita umat bukan nabi yang maksum,” katanya lagi.
Menjengah ke ruangan komen, pelbagai reaksi dilontarkan oleh netizen terhadap kenyataan itu. Seorang pengguna, @Aleezmil berpendapat label tersebut tercetus susulan kes berulang melibatkan aktiviti seni dan teater yang didakwa melampaui batas.
“Rasanya label universiti maksiat tu tercetus sebab kes berulang, bukan pertama kali jadi dan tegur. Kos seni budaya dan teater ni paling mudah terdedah dengan aksi atau idea yang melampaui batas,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna, @Mariyareads90 mengingatkan orang ramai agar tidak terlalu cepat menghukum tanpa menegur dengan cara yang betul.
“Yang salah, tegurlah pada medan yang sepatutnya, bukan dicaci maki, dicela seolah-olah diri kita tidak pernah berbuat kesilapan,” katanya.

