KUALA LUMPUR – Kasih sayang anak-anak terhadap ibu terserlah apabila mereka menyediakan nota-nota kreatif pada setiap barangan keperluan bagi memudahkan urusan wanita itu menunaikan ibadah haji.
Menerusi hantaran di Threads, Ainun memaklumkan ibunya dijadualkan berangkat pada Ahad lepas, sekali gus menjadi detik yang cukup mencabar buat mereka sekeluarga kerana tidak pernah berjauhan dalam tempoh yang lama.
Menurutnya, pelbagai persiapan dilakukan termasuk menulis nota kecil pada setiap barangan keperluan sebagai panduan buat ibunya sepanjang berada di sana.
“Insya-Allah mak akan berangkat haji Ahad ini, kali pertama mak pergi jauh tanpa anak-anak dan lama. Perasaan itu Allah sahaja yang tahu, bercampur baur.
“Nampak kecil tulis nota ini, tetapi setiap kali nak tulis, menahan sebak. Terbayang bagaimana keadaan mak nanti di sana tanpa anak-anak,” katanya.
View on Threads
Tambahnya, mereka tidak mengharapkan banyak, sebaliknya hanya berdoa agar segala urusan ibunya dipermudahkan sepanjang menunaikan ibadah tersebut.
“Tak minta banyak, moga Allah mudahkan segalanya untuk mak. Moga Allah temukan mak dengan orang yang baik-baik di sana,” ujarnya.
Ainun turut memohon orang ramai menitipkan doa buat insan yang disifatkannya sebagai ‘syurga’ dalam hidupnya itu agar dikurniakan kesihatan yang baik serta memperoleh haji yang mabrur.
Dalam pada itu, Ainun turut berkongsi kisah menyentuh hati apabila perjalanan haji kali ini sepatutnya disertai oleh bapa mereka, Allahyarham Azeme.
Namun, hasrat itu tidak kesampaian apabila bapanya meninggal dunia dua tahun lalu sebelum sempat menunaikan ibadah tersebut bersama isterinya.
“Sebenarnya perjalanan haji ini dirancang berdua dengan ayah, tetapi takdir Allah, ayah pergi dahulu.
“Jadi tahun ini mak berangkat sendirian untuk menunaikan hajat tersebut,” katanya.
Perkongsian tersebut mengundang rasa sebak dalam kalangan warganet yang rata-ratanya turut mendoakan kesejahteraan ibunya sepanjang berada di Tanah Suci. -MYBERITA

