Jumaat, 12 Jun 2026

Pelajar IPTA mengaku tidak bersalah aib kehormatan gadis

MELAKA – Seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengaibkan kehormatan seorang gadis dalam kejadian Khamis lalu.

Tertuduh, Muhammad Amir Nabil Salehuddin, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Dr. Teoh Shu Yee.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyuruh mangsa berusia 20 tahun melakukan perbuatan mengaibkan ketika berada di dalam sebuah kereta di atas jambatan di Jalan Lebuh Sungai Udang–Paya Rumput–Ayer Keroh (Lebuh SPA), di sini pada jam 1.13 pagi, 4 Jun lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,600 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa sepanjang prosiding berjalan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 15 Julai ini.

Danial Firdaus
Danial Firdaus
danialfirdaus@portalmyberita.com