Jumaat, 12 Jun 2026

Harga petrol, diesel kekal tidak berubah hingga 17 Jun

KUALA LUMPUR – Harga runcit petrol RON97, RON95 dan diesel di Semenanjung Malaysia kekal tidak berubah bagi tempoh 11 hingga 17 Jun 2026, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

MOF dalam satu kenyataan memaklumkan harga petrol RON97 dikekalkan pada RM4.35 seliter, manakala RON95 kekal RM3.72 seliter dan diesel RM4.67 seliter.

Menurut kementerian itu, keputusan mengekalkan harga runcit bahan api dibuat berdasarkan pergerakan purata harga pasaran antarabangsa minggu sebelumnya selaras dengan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

“Kerajaan MADANI mengekalkan harga petroleum bersubsidi bersasar kepada rakyat dan sektor tertentu meliputi RON95 (BUDI95) pada RM1.99 seliter serta diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pada RM2.15 seliter,” menurut kenyataan itu.

Bagi program subsidi bersasar BUDI95, harga RON95 kekal RM1.99 seliter yang memberi manfaat kepada lebih 14 juta penerima layak. Harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan juga tidak berubah pada kadar RM2.15 seliter.

Sementara itu, harga bahan api di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dikekalkan pada RM2.05 seliter, manakala Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kekal RM2.15 seliter.

MOF berkata penggunaan 200 liter RON95 pada harga pasaran RM3.72 seliter melibatkan kos sebanyak RM744, namun penerima BUDI95 hanya perlu membayar RM398 melalui harga subsidi RM1.99 seliter.

“Ini bermakna pengguna yang layak menikmati penjimatan sehingga RM346 sebulan bagi penggunaan yang sama,” menurut kenyataan itu.

Menurut MOF, harga diesel tanpa subsidi RM4.67 seliter pula adalah lebih dua kali ganda berbanding harga diesel bersubsidi RM2.15 seliter, sekali gus membantu mengurangkan tekanan kos pengangkutan awam dan logistik barangan pengguna.

Kementerian itu menjelaskan walaupun pasaran petroleum global menunjukkan trend yang lebih stabil sejak beberapa minggu kebelakangan ini, pasaran antarabangsa masih berdepan ketidaktentuan akibat faktor bekalan fizikal, tahap inventori global dan permintaan bermusim di beberapa rantau utama dunia.

Tambahnya, bekalan petroleum negara ketika ini kekal stabil dan mencukupi hasil perancangan berterusan kerajaan bagi memastikan kelangsungan bekalan serta memperkukuh keterjaminan tenaga jangka panjang.

“Pendekatan subsidi bersasar ini membantu mengurangkan tekanan kos kepada rakyat serta memastikan sektor-sektor penting negara terus beroperasi dengan stabil dalam keadaan global yang masih mencabar,” menurut MOF.

Pada masa sama, Kerajaan MADANI menggalakkan rakyat menggunakan bahan api secara lebih cekap dan berhemat menerusi perancangan perjalanan yang lebih baik serta pengurangan pembaziran bagi meningkatkan daya tahan negara menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.

Anwar Azhari
Anwar Azhari
anwar@portalmyberita.com