Harga diesel lonjak sehingga RM6.02 seliter

KUALA LUMPUR – Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia meningkat sebanyak 50 sen kepada RM6.02 seliter bagi tempoh 2 hingga 8 April 2026, manakala harga di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.

Kementerian Kewangan Malaysia dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, harga petrol RON97 pula turun sebanyak 20 sen kepada RM4.95 seliter, sementara petrol RON95 tanpa subsidi kekal pada RM3.87 seliter bagi tempoh sama.

Menurut kementerian itu, penetapan harga runcit produk petroleum dibuat berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), selaras dengan pergerakan harga minyak mentah dunia.

“Kerajaan terus mengekalkan harga bahan api bersubsidi bagi memastikan pengguna tidak terkesan secara langsung dengan turun naik harga pasaran global.

“Semakan harga runcit bahan api juga dilaksanakan secara mingguan bagi mencerminkan perubahan harga minyak dunia serta memastikan ketelusan dalam penetapan harga,” menurut kenyataan itu.

Kerajaan menegaskan komitmen untuk memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara melalui pendekatan subsidi bersasar, di samping memantau harga runcit bahan api dari semasa ke semasa mengikut perkembangan pasaran global.

Bermula 1 April 2026, had kelayakan pembelian di bawah program BUDI95 turut diselaraskan kepada 200 liter sebulan sebagai langkah sementara sehingga keadaan bekalan global kembali stabil.

Selain itu, kerajaan turut melaksanakan had pengisian diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan bagi mengekang ketirisan serta aktiviti penyeludupan. Had maksimum ditetapkan sebanyak 50 liter bagi setiap pembelian untuk kenderaan ringan, manakala kenderaan pengangkutan awam dan barangan tidak melebihi tiga tan dihadkan kepada 100 liter, dan sehingga 150 liter bagi kenderaan melebihi tiga tan.

Sebagai langkah interim susulan kenaikan harga diesel, kerajaan mengekalkan bantuan tunai tambahan BUDI Diesel sebanyak RM100 bagi bulan April, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan RM300 kepada penerima BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi.

BACA JUGA:  Peniaga terpaksa berputih mata, bazar Ramadan dilanda ribut

“Kerajaan MADANI akan terus mengimbangi keperluan fiskal dengan perlindungan rakyat secara teliti dan berhemah bagi memastikan kesejahteraan ekonomi negara serta kelangsungan hidup rakyat terus terpelihara,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, kerajaan sedang mempertimbangkan langkah jangka sederhana dan panjang bagi memastikan mekanisme subsidi kekal mampan, telus serta memberi manfaat kepada rakyat, sejajar dengan cabaran krisis tenaga global. – MYBERITA

Jafnieza Jafri
Jafnieza Jafri
jafnieza@portalmyberita.com

TRENDING

Tiada unsur jenayah dalam tragedi Pelantar Sepat, punca sebenar masih disiasat – Polis

KUALA TERENGGANU – Insiden kemalangan di pelantar minyak Sepat...

31,600 jemaah haji Malaysia mula bergerak ke Arafah

MAKKAH – Suasana penuh tertib dan berdisiplin mewarnai pergerakan...

Arif Aiman tamatkan zaman bujang, sah bergelar suami kepada Aliah Natasha

JOHOR BAHRU - Pemain sayap Arif Aiman Hanapi kini...

JPJ tangguh sementara urusan tukar hak milik kenderaan ‘online’ mulai 25 Mei

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) akan...

Linda Jasmine, Ratu tersingkir minggu keenam TTMM2

SHAH ALAM - Perjalanan pasangan Linda Jasmine dan Ratu...