Selasa, 1 September 2026
IKLAN PTPTN

Cabutan Prime Bonanza

Simpan SSPN Prime & rebut hadiah menarik.

Sertai →
PendidikanKuartet 4x100m UPM pecah benteng 40 saat SUKIPT

Kuartet 4x100m UPM pecah benteng 40 saat SUKIPT

KUALA LUMPUR – Dibayangi reputasi generasi terdahulu dan dicabar pelari pecut kebangsaan, kuartet 4×100 meter (m) lelaki Universiti Putra Malaysia (UPM) membuktikan barisan pelapis mereka bukan calang-calang apabila meledak catatan bawah 40 saat pada Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026.

UPM bukan sahaja merangkul pingat emas, malah memadam rekod kejohanan selepas mencatat 39.98 saat, tepat satu saat lebih pantas berbanding rekod terdahulu 40.98 saat.

Pencapaian itu lebih bermakna apabila sebahagian besar kuartet berkenaan merupakan muka baharu di pentas SUKIPT, namun tetap mampu menyerap tekanan persaingan sengit termasuk cabaran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

UPSI turut diperkuat pelari pecut negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee, sekali gus menjadikan saingan acara berkenaan antara yang mencuri tumpuan.

Pelari UPM, Aliff Iman Mohd Fahimi berkata, mereka sebenarnya sudah menjangkakan catatan bawah 40 saat berdasarkan prestasi semasa setiap anggota kuartet.

“Berdasarkan purata catatan rakan sepasukan sekitar 10.4 hingga 10.5 saat, kami memang percaya mampu mencatat masa di bawah 40 saat.

“Ini merupakan SUKIPT terakhir saya dan saya mahu berikan yang terbaik buat UPM. Walaupun pasukan kali ini dibarisi pelari junior, kami yakin dengan kemampuan masing-masing,” katanya.

Keyakinan itu diterjemahkan di trek apabila UPM melintasi garisan penamat dengan catatan 39.98 saat untuk memastikan emas dan rekod kejohanan menjadi milik mereka.

Bagi Aliff Iman, kemenangan berkenaan turut membawa makna peribadi apabila SUKIPT 2026 menjadi antara pentas penting dalam usahanya membina semula prestasi selepas berehat selama enam bulan akibat kecederaan belakang.

Dia kini mahu mendapatkan semula rentak terbaik dengan meletakkan sasaran untuk mencabar tempat ke Sukan SEA tahun depan.

Pada masa sama, pelari terakhir UPM, Ahmad Amir Aiman Mohd Kamaruddin mengakui tekanan cukup dirasai apabila terpaksa berdepan pelari berstatus kebangsaan dalam perebutan pingat.

Namun, kepercayaan diberikan rakan sepasukan membantunya kekal tenang untuk menyempurnakan tugas sebagai pelari terakhir dan membawa UPM muncul juara.

Semangat juang kuartet UPM turut terserlah menerusi Reeve Kua Man Hong yang tetap turun beraksi meskipun mengalami demam panas sehari sebelum perlumbaan.

“Semalam saya mengalami demam panas dan hanya mampu berehat serta mengambil ubat. Alhamdulillah, hari ini saya dapat berlari dan memberikan yang terbaik untuk pasukan,” katanya.

Kejayaan itu sekali gus meneruskan legasi kecemerlangan acara pecut UPM yang sebelum ini pernah dibawa nama besar seperti Jonathan Nyepa dan Zulfiqar Ismail.

Lebih penting, kemunculan barisan baharu yang sudah mampu menembusi catatan bawah 40 saat memberi petanda bahawa UPM masih mempunyai kelompok pelapis berpotensi untuk meneruskan dominasi mereka dalam acara pecut di pentas sukan institusi pendidikan tinggi.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-