Khamis, 30 Julai 2026
spot_img
Pilihan RayaGolongan muda mahu pemimpin buktikan prestasi, bukan sekadar janji

Golongan muda mahu pemimpin buktikan prestasi, bukan sekadar janji

REMBAU – Golongan muda di Chembong menggesa pengundi menilai rekod, tindakan dan kemampuan calon dalam menyediakan kemudahan serta bantuan pendidikan sebelum membuat pilihan pada pilihan raya.

Tinjauan mendapati rata-rata belia tempatan dan pelajar institusi berhampiran mahu kedua-dua calon yang bertanding, masing-masing daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), mengutamakan isu masa depan rakyat.

Seorang pelajar berkata keutamaan perlu diberi kepada penyediaan kemudahan awam, peralatan pembelajaran dan sokongan pendidikan yang lebih baik.

“Pilihlah untuk masa hadapan yang terbaik. Macam fasiliti, peralatan, pelajaran, apa semua itu. Bagilah yang terbaik,” katanya.

Beliau turut berpandangan bahawa kemudahan pengangkutan awam di kawasan itu berada dalam keadaan memuaskan, namun bantuan pembelajaran kepada mahasiswa wajar dipertingkatkan.

“Memandangkan sekarang pasal BN, saya rasa BN ini nak bagi bantuan lebih kepada mahasiswa, inisiatif ataupun insentif,” katanya.

Dalam pada itu, beberapa pengundi muda menegaskan pilihan politik harus dibuat berdasarkan latar belakang dan prestasi sebenar calon, bukan hanya janji ketika musim kempen.

“Nasihat saya, choose wisely. Korang kena tengok background betul-betul. Kena semak yang ini betul ke tak, dibuat kerja ke tak,” kata seorang lagi responden.

Beliau berkata pemimpin perlu membuktikan tindakan secara berterusan dan tidak hanya turun padang ketika pilihan raya.

“Janganlah masa pilihan raya saja buat kerja. Masa hari-hari lain tak buat pun,” katanya.

Seorang pengundi muda yang lain menyatakan sokongan kepada BN pula berkata beliau memilih parti warna biru itu kerana dilihat lebih memihak kepada rakyat dalam isu ekonomi sebelum ini.

“Sebelum undi itu, fikir betul-betul sebab undi kita ini tanggungjawab kita. Lebihkan aksi daripada berkata-kata. Jangan berkata-kata tapi tiada aksi,” katanya.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-