REMBAU – Bermula dengan rasa kurang yakin untuk bercakap di hadapan orang ramai, Muhammad Aniq Hafiz Iswandy tidak menyangka penyertaannya dalam program NextGen Reporter 2026 mampu mengubah persepsinya terhadap dunia kewartawanan.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pedas itu antara 30 peserta yang menyertai program anjuran MYBERITA di sekolah berkenaan pada Rabu, yang memberi pendedahan secara langsung mengenai dunia kewartawanan dan penerbitan berita.

Menurut Muhammad Aniq, pada awalnya dia kurang berminat untuk menyertai program berkenaan kerana tidak mempunyai keyakinan untuk berkomunikasi di hadapan khalayak.
“Selepas saya sertai program ini, saya rasa lebih berani bercakap di hadapan orang ramai kerana fasilitator mengajar saya bagaimana untuk mendapatkan keyakinan,” katanya.
Program NextGen Reporter 2026 dirangka dengan pendekatan pembelajaran secara praktikal bagi membolehkan peserta bukan sahaja memahami teori kewartawanan, malah merasai sendiri proses menghasilkan sesuatu laporan berita.
Perkongsian sepanjang program disampaikan oleh Pengarang Berita MYBERITA, Adam Hafiz Ahmad yang turut menjalankan aktviti termasuk pendedahan mengenai asas kewartawanan, etika seorang wartawan, teknik komunikasi dan penyampaian, rakaman video serta asas penyuntingan kandungan.
Peserta turut dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan diberikan tugasan menghasilkan rakaman video laporan berita, sekali gus memberi peluang kepada mereka memainkan peranan seperti sebuah pasukan media sebenar.
Pendekatan itu membolehkan peserta belajar mengenai kepentingan pembahagian tugas, komunikasi, kreativiti dan kerjasama berpasukan dalam menghasilkan sesuatu kandungan berita.

Seorang lagi peserta, Nur Izzatul Maisarah Mohd Izwan berkata pengalaman menghasilkan liputan bersama rakan-rakan menjadi antara aktiviti paling menarik sepanjang program itu.
“Pengalaman paling best saya dapat hari ini ialah dapat belajar benda baharu, lagi-lagi dalam bidang kewartawanan. Saya dapat belajar bagaimana hendak bercakap dengan lebih baik dan jeda-jeda yang perlu kita tahu.
“Aktiviti mencari video untuk dijadikan liputan juga menarik sebab kami dapat bekerjasama dengan yang lain dan membuat rakaman bersama-sama,” katanya.

Sementara itu, Iman Muslim Mohd Azli berkata program berkenaan membuka peluang kepada pelajar untuk mengenali bidang kewartawanan sebagai antara kerjaya yang boleh diceburi generasi muda.
“Yang saya belajar hari ini ialah cara mengedit dan etika untuk menjadi seorang wartawan. Program seperti ini berbaloi untuk mencari bakat-bakat wartawan di Malaysia.
“Kita mempunyai banyak bidang seperti sukan dan teknologi. Kewartawanan juga salah satu bidang yang boleh diceburi anak Malaysia,” katanya.

Bagi Siti Humairah Ahmady Abdul Alim pula, pengalaman mengikuti program itu bukan sahaja memberi pengetahuan mengenai teknik rakaman video, malah mengajarnya untuk menerima kesilapan sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran.
“Saya dapat mengetahui dengan lebih mendalam mengenai bidang kewartawanan dan cara untuk merakam video. Selepas ini kalau saya melakukan kesilapan, saya akan belajar daripada kesilapan itu kerana saya sudah belajar daripada program ini.
“Satu lagi pengajaran yang saya dapat, walaupun banyak tekanan yang perlu dihadapi, kita tetap kena hadap untuk menghasilkan sesuatu,” katanya.
Dalam pada itu, Guru TVPSS SMK Pedas, Azahlela Abd Ghani menyifatkan kolaborasi bersama MYBERITA sebagai satu inisiatif yang memberi pendedahan baharu kepada murid mengenai struktur dan proses kerja dalam organisasi media.
“Saya rasa amat berbangga dengan murid-murid dan terima kasih juga diucapkan kepada MYBERITA. Kolaborasi ini saya rasa patut diteruskan kepada sekolah-sekolah lain kerana ia memberi pendedahan kepada murid tentang ilmu kewartawanan.

“Tugas mereka sebagai wartawan diagihkan dengan sistematik, di mana dalam satu sistem itu ada pengarah, wartawan, responden dan lain-lain,” katanya.
Menurut Azahlela, keterujaan peserta jelas kelihatan sepanjang program terutama apabila kebanyakan mereka pertama kali diberikan pendedahan secara lebih dekat mengenai dunia kewartawanan.
“Murid sangat gembira dan sangat teruja dalam melaksanakan tugasan. Ini adalah kali pertama mereka didedahkan kepada ilmu kewartawanan. Saya sangat berbangga dan sangat berterima kasih kepada MYBERITA,” katanya.
Beliau turut berpandangan program seumpama itu wajar diperluaskan ke lebih banyak sekolah memandangkan kemudahan TV Pusat Sumber Sekolah (TVPSS) kini boleh menjadi platform penting dalam mencungkil bakat murid dalam bidang penyiaran, kewartawanan dan penghasilan kandungan digital.
“Saya rasa program ini sangat perlu diperluaskan di semua sekolah kerana setiap sekolah mempunyai TVPSS masing-masing. Cumanya sama ada ia berjalan ataupun tidak bergantung kepada guru yang memantau dan mengorganisasikan TVPSS tersebut,” katanya.
Penganjuran NextGen Reporter 2026 juga menjadi platform untuk mendekatkan pelajar dengan realiti tugasan pengamal media, selain membantu mereka membina kemahiran komunikasi, keyakinan diri, pemikiran kritis dan kerja berpasukan.
Melalui latihan secara langsung dan tugasan berkumpulan, peserta berpeluang memahami bahawa penghasilan sesebuah berita bukan sekadar berdiri di hadapan kamera, sebaliknya memerlukan proses perancangan, pengumpulan maklumat, rakaman, penyampaian, penyuntingan serta pematuhan terhadap etika kewartawanan.
Program berkenaan diharap dapat menjadi titik permulaan kepada usaha melahirkan generasi muda yang lebih celik media, berani berkomunikasi serta mempunyai kefahaman mengenai tanggungjawab dan peranan kewartawanan dalam masyarakat.

