Selasa, 1 September 2026
IKLAN PTPTN

Cabutan Prime Bonanza

Simpan SSPN Prime & rebut hadiah menarik.

Sertai →
NasionalKehadiran Tun M jadi perhatian, urus setia tampil jelas isu jemputan Hari...

Kehadiran Tun M jadi perhatian, urus setia tampil jelas isu jemputan Hari Kebangsaan

PUTRAJAYA – Kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad di Dataran Putrajaya bagi menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan 2026 bersama orang ramai mencuri perhatian, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kedudukan jemputan rasmi kepada bekas Perdana Menteri.

Kementerian Komunikasi menjelaskan, jemputan menghadiri sambutan Hari Kebangsaan tidak dipanjangkan secara automatik kepada bekas Perdana Menteri berdasarkan amalan yang dilaksanakan sejak 2018.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, Datuk Abdul Halim Hamzah berkata, pihak urus setia mengambil maklum pertanyaan yang timbul susulan kehadiran Dr Mahathir pada sambutan berkenaan.

“Berdasarkan pengesahan Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa, Jabatan Perdana Menteri yang menguruskan tetamu bagi acara rasmi utama kerajaan, terdapat tatacara pengurusan jemputan yang berkuat kuasa bagi sambutan Hari Kebangsaan.

“Berdasarkan amalan sejak tahun 2018, jemputan ke sambutan Hari Kebangsaan tidak dipanjangkan secara automatik kepada mantan Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, Abdul Halim menegaskan kehadiran mana-mana bekas pemimpin ke sambutan berkenaan tidak dihalang.

Menurutnya, kehadiran mereka boleh diuruskan menerusi permohonan pihak berkenaan mengikut tatacara serta pengurusan jemputan rasmi yang ditetapkan.

Pada masa sama, beliau berkata, pihak urus setia menerima makluman daripada Pejabat Perdana Menteri bahawa Dr Mahathir dijadualkan berada di luar negara dari 28 hingga 31 Ogos.

“Pihak urus setia turut menerima makluman daripada Pejabat Perdana Menteri yang memaklumkan Dr. Mahathir akan ke luar negara dari 28 hingga 31 Ogos berdasarkan permohonan Kemudahan Berehat ke Luar Negara.

“Ia telah diterima dan diluluskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaras dengan ketentuan Saraan Bekas Perdana Menteri di bawah Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 [Akta 237],” katanya.

Terdahulu, kehadiran Dr Mahathir di Dataran Putrajaya menjadi perhatian apabila bekas Perdana Menteri itu memilih menyaksikan kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan bersama orang ramai.

Berbeza dengan kebiasaan tetamu kenamaan yang ditempatkan di lokasi khas, Dr Mahathir dilihat berada berhampiran pengunjung di tepi kawasan sambutan dan berpanas di bawah terik matahari.

Kehadiran negarawan berusia 101 tahun itu turut menarik perhatian pengunjung yang mengambil kesempatan melambai, merakam video dan mengabadikan kenangan bersama beliau.

Dr Mahathir merupakan Perdana Menteri Malaysia keempat dari 1981 hingga 2003 sebelum kembali menerajui kerajaan sebagai Perdana Menteri ketujuh dari 2018 hingga 2020.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-