SEREMBAN – Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hari ini berkenan memasyhurkan putera kedua baginda, Tunku Zain Al-‘Abidin sebagai Tunku Panglima Besar pada satu istiadat penuh adat di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, hari ini.
Turut berangkat pada istiadat berkenaan ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud serta Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.
Istiadat penuh tradisi itu dimulakan dengan Tuanku Muhriz berkenan mengisytiharkan serta menyerahkan watikah pelantikan Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan kepada Tunku Zain Al-‘Abidin, sekali gus mengisi kekosongan jawatan berkenaan yang sebelum ini disandang oleh Tunku Datuk Seri Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar.
Majlis pengurniaan gelaran pusaka Putera Yang Empat Tunku Panglima Besar itu turut disaksikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun serta ketua-ketua jabatan kerajaan negeri.
Dalam satu kenyataan selepas istiadat itu, Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Azizi Mohamad Ali memaklumkan bahawa Tuanku Muhriz menzahirkan keyakinan terhadap Tunku Zain Al-‘Abidin untuk memainkan peranan penting dalam menjunjung kedaulatan Institusi Diraja Negeri Sembilan serta memelihara kepentingan rakyat dan negeri.
Tunku Zain Al-‘Abidin, 44, diputerakan pada tahun 1982, merupakan tokoh akademik dan reformis institusi yang aktif memperjuangkan pemulihan perlembagaan serta agenda reformasi di Malaysia ke arah pembinaan negara yang lebih adil dan saksama.
Baginda mendapat pendidikan di Sekolah Alice Smith, Kuala Lumpur, Marlborough College di United Kingdom serta London School of Economics and Political Science (LSE), sebelum memperoleh Ijazah Sarjana Sains (MSc) dalam Politik Perbandingan.
Dalam bidang pendidikan, Tunku Zain Al-‘Abidin kini berkhidmat sebagai Canselor Universiti UCSI, Pro-Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Presiden Kolej ICAN serta Felo Diraja Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Felo Bersekutu Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Baginda juga aktif sebagai Pemegang Amanah Yayasan Jeffrey Cheah serta Penaung Program Seni dan Kebudayaan Sekolah-Sekolah Negeri Sembilan, selain memperjuangkan akses pendidikan berkualiti, pembelajaran holistik dan pembangunan bakat muda.
Selain itu, baginda merupakan Presiden Pengasas Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) serta pengasas IDEAS Autism Centre yang mengendalikan pusat di Rawang, Nilai dan Port Dickson, selain IDEAS International Secondary School di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Dalam dunia korporat, Tunku Zain Al-‘Abidin turut memegang beberapa jawatan termasuk Pengerusi Omesti Berhad, Excelerate Malaysia dan EnotechPictures serta ahli lembaga pengarah Deutsche Bank Malaysia, Prima Gading Corporation dan Uni Enrol.
Baginda turut dikenali sebagai tokoh yang aktif dalam kerja amal dan pendidikan melalui pelbagai yayasan termasuk Yayasan Chow Kit, Yayasan Munarah, Yayasan IDEAS, Yayasan Genovasi dan Yayasan Tinggi.
Seorang pencinta seni dan budaya, baginda juga merupakan pemain piano dan pernah membuat persembahan bersama Orkestra Filharmonik Malaysia, selain terlibat dalam projek pembaharuan lagu kebesaran Negeri Sembilan serta penulisan buku berkaitan institusi diraja.
Tunku Zain Al-‘Abidin juga pernah berkhidmat dengan Parlimen United Kingdom, Bank Dunia serta Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), dan merupakan penerima Eisenhower Fellowship.
Baginda turut aktif dalam sukan raket dan kini berkhidmat sebagai Presiden Emeritus Persatuan Squash Negeri Sembilan serta penasihat bagi Persatuan Tenis Negeri Sembilan dan Persatuan Pickleball Negeri Sembilan. – BERNAMA

