KUALA LUMPUR – Pemimpin korporat yang masih mengambil pendekatan tunggu dan lihat terhadap kecerdasan buatan (AI) berisiko tercicir dalam persaingan perniagaan apabila teknologi itu kini berkembang daripada sekadar projek percubaan kepada komponen teras operasi organisasi.
Amaran itu disuarakan Pengasas Bersama Futurefirst Solutions Sdn Bhd, Shankar Nagalingam yang menegaskan bahawa cabaran utama bukan lagi mengenai kesedaran terhadap AI, sebaliknya tahap kesiapsiagaan pemimpin untuk memahami, mengadaptasi dan mengintegrasikan teknologi berkenaan dalam tugasan harian.
Menurut beliau, jurang antara kesedaran dan tindakan dalam kalangan organisasi semakin melebar, sekali gus meletakkan syarikat yang lambat bertindak dalam kedudukan yang kurang kompetitif.
“Pemimpin perlu mengambil langkah pertama dengan mendekati AI. Mereka perlu memahami potensinya, mentafsir dan menggunakannya bagi manfaat sendiri kerana kesedaran semata-mata tidak lagi mencukupi,” katanya ketika berucap pada Summit of Titans II bertemakan “Decode AI. Reclaim the Future” yang berlangsung baru-baru ini.
Persidangan yang menghimpunkan lebih 300 eksekutif peringkat C-suite itu turut menyaksikan pelancaran Tarantula Trail, sebuah inisiatif pembangunan kepimpinan baharu oleh Futurefirst Solutions yang dibangunkan berasaskan rangka kerja berdaftar NETRA.
NETRA menumpukan kepada lima ciri utama kepimpinan masa depan iaitu Neuroplasticity, Neuroempathy, Technosapient, Regenerative dan Agentic bagi membantu organisasi mengenal pasti serta membangunkan pemimpin yang mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi.
Tarantula Trail merupakan program pertama seumpamanya yang menggabungkan penilaian berasaskan teknologi seperti gelombang otak EEG, pengecaman wajah AI dan modulasi suara dengan pengalaman sinematik untuk menilai corak pemikiran, emosi serta gaya membuat keputusan seseorang pemimpin.
Shankar berkata, teknologi itu membolehkan organisasi mengenal pasti keupayaan masa depan individu secara lebih mendalam berbanding kaedah penilaian konvensional yang lazimnya bergantung kepada soal selidik.
“Kami menggunakan teknologi yang belum pernah digunakan dalam persekitaran kepimpinan untuk menghubungkan dan mentafsir keupayaan masa depan. Teknologi ini berpotensi digunakan dalam proses pengambilan pekerja, kenaikan pangkat dan perancangan penggantian organisasi,” katanya.
Sementara itu, Pengasas Bersama Futurefirst Solutions, Dr Chanthiran Veerasamy berkata komponen sinematik dalam program tersebut memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran kendiri peserta melalui pengalaman pembelajaran yang lebih mendalam dan imersif.
Katanya, pengalaman itu kemudiannya disahkan melalui aplikasi AI serta teknologi EEG bagi memberikan gambaran lebih tepat mengenai kecenderungan dan potensi kepimpinan seseorang individu.
Program penuh termasuk penerbitan sinematiknya dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung tahun ini.
Dalam pada itu, penceramah utama persidangan, Profesor Keith Carter berkata penggunaan AI dalam organisasi tidak semestinya bertujuan menggantikan tenaga kerja, sebaliknya boleh menjadi pemangkin untuk memperkasakan potensi insan jika dilaksanakan dengan kepimpinan yang betul.
“Pada tahun 2026, kelewatan untuk bertindak akan membawa padah,” katanya sambil menegaskan bahawa organisasi yang terus menangguhkan usaha transformasi berisiko tercicir daripada arus perkembangan semasa.
Summit of Titans II telah dirasmikan oleh akademisyen Tan Sri Dato’ Seri Datuk Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali, manakala pelancaran Tarantula Trail disempurnakan oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Green Packet, Datuk Wira Shahul Hameed Shaik Dawood bersama Ketua Pegawai Eksekutif PIKOM, Ong Kian Yew serta Presiden Institut Pengurusan Sumber Manusia Malaysia, Simon Benjamin.
Kehadiran tokoh-tokoh industri, teknologi dan modal insan itu mengukuhkan kedudukan Summit of Titans II sebagai platform utama perbincangan mengenai masa depan kepimpinan dan transformasi AI di Malaysia.

