SHAH ALAM – Kejutan tanpa penyingkiran mewarnai konsert minggu kelima Big Stage X Rocketfuel (BSR) apabila Danny, Aliff Kimiey dan Yad-Z berjaya meneruskan saingan biarpun berada dalam kelompok tiga peserta tercorot berdasarkan markah juri.
Pengumuman itu memberi nafas baharu kepada ketiga-tiga peserta yang sebelum ini menerima markah paling rendah menerusi persembahan bertemakan ‘Multi-Track’, sekali gus memastikan persaingan menuju suku akhir terus berlangsung dengan lapan peserta yang masih berbaki.
Sementara itu, duo adik-beradik Adam & Nazmie muncul sebagai peserta terbaik minggu kelima selepas memukau barisan juri menerusi persembahan lagu Da Bomb bersama penyanyi jemputan Sarah Suhairi. Gandingan bertenaga itu membolehkan mereka mengumpul markah tertinggi sebanyak 79.50 peratus, sekali gus mengukuhkan status sebagai antara pencabar utama musim ini.
“Pengumuman tiada penyingkiran memberi peluang kepada semua peserta untuk bangkit dan membuktikan kemampuan pada minggu-minggu seterusnya,” menurut pihak produksi selepas konsert minggu kelima.
Sepanjang lapan minggu pertandingan, peserta bukan sahaja bersaing merebut gelaran juara, malah memburu Rocketfuel Artist Development Contract bernilai sehingga RM200,000 secara keseluruhan untuk tiga pemenang utama.
Ganjaran itu merangkumi penghasilan single dan video muzik, latihan vokal, pembangunan imej, sokongan pemasaran, pembangunan kandungan digital serta bimbingan kerjaya profesional bagi membantu pemenang membina nama dalam industri hiburan tempatan.
Musim ini menampilkan 11 peserta iaitu Sufie Rose, Qilo, Rieffa, Danny, Aliff Kimiey, Yad-Z, Ranisha, Danial Kifli, Sabrina, Hussain serta duo Adam & Nazmie.
Program yang dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Azeva itu bersiaran setiap Ahad, pukul 9 malam di Astro Ria, selain boleh distrim menerusi Astro GO dan Sooka.


