REMBAU – Proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 2026 membuka tirai hari ini dengan 374 pengundi awal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chembong mula menunaikan tanggungjawab mereka, sekali gus menjadi petunjuk awal kepada persaingan sengit yang bakal berakhir pada hari pengundian penuh, 1 Ogos ini.
Tinjauan MYBERITA di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau mendapati proses pengundian yang bermula pada pukul 8 pagi berlangsung lancar dan teratur apabila anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang layak hadir secara berperingkat untuk membuang undi.
Di DUN Chembong, tumpuan turut terarah kepada pertandingan melibatkan penyandang, Datuk Zaifulbahri Idris yang mempertahankan kerusi atas tiket Barisan Nasional (BN) berdepan pencabarnya, Danish Nazran Murad dari Pakatan Harapan (PH).
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), anggota keselamatan dan ejen calon dilihat berada di lokasi bagi memastikan keseluruhan proses pengundian berjalan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Rata-rata pengundi hanya mengambil masa beberapa minit untuk menyelesaikan proses mengundi sebelum beredar meninggalkan pusat mengundi.
Pengundian awal di Negeri Sembilan hari ini melibatkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pasangan yang layak di 38 pusat mengundi awal dengan 70 saluran mengundi di seluruh negeri.
“Setakat pagi ini, proses pengundian di IPD Rembau berlangsung dengan baik, terkawal dan tanpa sebarang insiden yang tidak diingini, manakala kehadiran pengundi awal juga berjalan secara berperingkat,” kata petugas pilihan raya di lokasi.
Keputusan pengundian awal akan dikira serentak bersama undi biasa selepas tamat proses pengundian pada 1 Ogos, yang bakal menentukan wakil rakyat baharu bagi DUN-DUN yang dipertandingkan di Negeri Sembilan.


