Rabu, 29 Julai 2026
spot_img
Hiburan'Saya sporting, tapi ada batas', Zizan Razak bersuara isu gambar disunting keterlaluan

‘Saya sporting, tapi ada batas’, Zizan Razak bersuara isu gambar disunting keterlaluan

KUALA LUMPUR – Pelawak dan pelakon popular, Zizan Razak, tampil menegur segelintir pihak yang didakwa menyunting gambar dirinya secara keterlaluan sehingga menyentuh sensitiviti agama, selain menggunakan wajahnya bagi tujuan promosi produk tanpa kebenaran.

Menerusi satu hantaran di media sosial baru-baru ini, Zizan menjelaskan bahawa dia seorang yang terbuka menerima gurauan dan tidak kisah menjadi bahan hiburan. Namun, menurutnya, setiap perkara mempunyai batas yang perlu dihormati.

“Assalamualaikum kepada seluruh warga internet dan mereka yang mengenali diri ini.Tujuan posting adalah untuk meluahkan dan memberitahu yang saya memang seorang yang sporting dan juga fun, akan tetapi ada tahapnya,” katanya.

Menurut pelakon filem Polis Evo itu, dia memahami budaya masyarakat masa kini yang gemar menghasilkan kandungan kreatif termasuk menyunting gambar selebriti untuk tujuan hiburan.

Bagaimanapun, beliau berharap kreativiti tersebut tidak melampaui batas sehingga melanggar nilai agama dan adab.

“Berkenaan dengan gambar saya yang viral beberapa hari ini, diedit dan diubah menjadi kelakar boleh, tetapi biarlah berpada dan tidak melanggar hukum agama Islam,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zizan turut menegur tindakan pihak tertentu yang didakwa menggunakan gambar dan wajahnya untuk mempromosikan produk tanpa mendapatkan kebenaran terlebih dahulu.

Menurutnya, penggunaan imej seseorang bagi tujuan komersial tanpa izin bukan sahaja tidak beretika, malah bertentangan dengan prinsip perniagaan yang baik.

“Dan ada juga pihak yang mengambil kesempatan bertujuan mempromosikan produk masing-masing tanpa meminta izin mahupun bayaran dikenakan. Itu totally haram pada pendapat saya. Jadi renung-renungkanlah jika ingin berniaga secara halal,” katanya.

Luahan Zizan itu menerima pelbagai reaksi positif daripada warga maya yang menyokong pendiriannya supaya kandungan di media sosial dihasilkan secara lebih bertanggungjawab tanpa menyentuh sensitiviti agama atau menjejaskan hak individu lain.

Ramai turut bersetuju bahawa walaupun selebriti sering menjadi bahan gurauan, hak mereka sebagai individu tetap perlu dihormati, termasuk dalam penggunaan gambar bagi tujuan komersial.

Zizan berkata, hiburan dan jenaka sememangnya sebahagian daripada kerjayanya sebagai anak seni, namun dalam era digital yang semakin berkembang, setiap pengguna media sosial perlu lebih berhemah agar kebebasan berkreativiti tidak mengatasi nilai adab, etika dan rasa hormat terhadap orang lain.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-