KUALA LUMPUR – Wanita UMNO mengingatkan kedudukan parti itu dalam kerajaan tidak seharusnya menyebabkan suara dan pengaruhnya semakin mengecil, terutama dalam keputusan yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
Ketuanya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, UMNO memilih untuk bekerjasama dengan parti yang berbeza latar belakang, ideologi dan perjuangan demi memastikan kestabilan negara, namun kerjasama itu tidak bermaksud parti berkenaan perlu kehilangan pendirian sendiri.
Menurutnya, UMNO sudah memainkan peranan penting sebagai antara tonggak yang memastikan kestabilan politik negara sejak empat tahun lalu.
“Kalau UMNO cukup penting ketika kerajaan perlu dibentuk, UMNO juga mesti cukup penting ketika keputusan yang menyentuh kehidupan rakyat dibuat.
“Kita boleh duduk semeja. Tetapi jangan sampai kerusi dan suara kita semakin kecil,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO Malaysia 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Noraini menegaskan UMNO bukan sekadar “penumpang” dalam perjalanan politik negara, sebaliknya mempunyai pengalaman mentadbir dan kekuatan untuk menentukan hala tuju negara.
Pada masa sama, beliau menegaskan parti itu akan terus mempertahankan kestabilan negara tanpa mengabaikan usaha membina kekuatannya sendiri.
Sehubungan itu, Wanita UMNO menggariskan lima prinsip dalam menghadapi sebarang bentuk kerjasama politik iaitu tidak menggadaikan asas perjuangan, maruah parti, kestabilan negara, masyarakat majmuk Malaysia serta suara akar umbi.
