Empat lelaki mengaku salah curi mesin penapis air masjid

SEREMBAN– Empat lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas dua pertuduhan mencuri mesin penapis air jenama Coway di dua buah masjid berasingan di Mantin dan Lenggeng, masing-masing pada 30 Jun dan 1 Julai lalu.

Tertuduh, Mohd Akiq Faiqal Idris, 29; Muhammad Danial Darishan Muhamad Ruduan, 19; Muhammad Syaiful Muhamad, 29; dan Muhammad Zulfikri Sulaiman, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di dua kamar mahkamah berasingan di hadapan Majistret Saiful Sayoti dan Nurul Saqinah Rosli.

Mengikut pertuduhan pertama, keempat-empat mereka didakwa mencuri mesin penapis air di Masjid As-Siddiqin, Batang Benar, Mantin kira-kira jam 8.11 malam pada 30 Jun lalu.

Kesalahan tersebut dilakukan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ng Yunn Yiing memohon agar mahkamah mengenakan hukuman minimum terhadap anak guamnya dengan mengambil kira latar belakang mereka yang mempunyai tanggungan serta telah menunjukkan rasa insaf.

“Barang kes juga telah diperoleh semula dan anggaran kerugian adalah rendah. Selain itu, pengakuan bersalah mereka turut menjimatkan masa dan kos mahkamah,” katanya.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara selama tiga bulan terhadap Mohd Akiq, Muhammad Syaiful dan Muhammad Zulfikri, bermula dari tarikh sabitan.

Sementara itu, Muhammad Danial Darishan yang merupakan pesalah muda dibenarkan jamin sebanyak RM1,500 sementara menunggu laporan sosial yang ditetapkan pada 5 Ogos depan.

Dalam prosiding berasingan, Mohd Akiq, Muhammad Danial Darishan dan Muhammad Zulfikri turut dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Majistret Nurul Saqinah Rosli atas kesalahan sama yang dilakukan di Masjid Kariah Lenggeng, Nilai sekitar jam 2.30 petang pada 1 Julai lalu. Hukuman turut diarahkan bermula dari tarikh sabitan.

BACA JUGA:  PSA terima 1,010 pelajar baharu, catat peningkatan pendaftaran 104 peratus

Kes pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi dan Muhammad Zul Azrin Zanuddin.

Siasatan sebelum ini mendedahkan kumpulan lelaki berkenaan terbabit dalam kegiatan mencuri mesin penapis air di masjid sebelum menjual semula peralatan itu melalui media sosial. Mereka diberkas polis pada 3 Julai lalu selepas tiga laporan diterima berhubung kejadian yang berlaku di tiga buah masjid.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, kelima-lima suspek yang ditahan berusia lingkungan 20-an hingga 40-an.

Adam Hafiz
Adam Hafiz
adamhafiz@portalmyberita.com

TRENDING

Tiada unsur jenayah dalam tragedi Pelantar Sepat, punca sebenar masih disiasat – Polis

KUALA TERENGGANU – Insiden kemalangan di pelantar minyak Sepat...

31,600 jemaah haji Malaysia mula bergerak ke Arafah

MAKKAH – Suasana penuh tertib dan berdisiplin mewarnai pergerakan...

Arif Aiman tamatkan zaman bujang, sah bergelar suami kepada Aliah Natasha

JOHOR BAHRU - Pemain sayap Arif Aiman Hanapi kini...

JPJ tangguh sementara urusan tukar hak milik kenderaan ‘online’ mulai 25 Mei

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) akan...

Linda Jasmine, Ratu tersingkir minggu keenam TTMM2

SHAH ALAM - Perjalanan pasangan Linda Jasmine dan Ratu...