KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus dalam usaha menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan, BNM turut memaklumkan bahawa kadar siling dan lantai bagi koridor OPR masing-masing dikurangkan kepada tiga peratus dan 2.5 peratus.
Menurut BNM, walaupun ekonomi domestik kekal kukuh, ketidaktentuan global yang berterusan boleh memberi kesan kepada prospek pertumbuhan Malaysia.
“Pengurangan OPR merupakan langkah awal yang bertujuan untuk memelihara laluan pertumbuhan Malaysia yang stabil, di tengah-tengah prospek inflasi yang sederhana,” kata bank pusat itu dalam Pernyataan Dasar Monetari.
MPC turut menegaskan bahawa mereka akan terus berwaspada terhadap perkembangan ekonomi semasa dan menilai imbangan risiko terhadap prospek pertumbuhan dalam negeri serta tekanan inflasi.
Langkah penurunan kadar faedah ini dijangka dapat menggalakkan aktiviti pinjaman dan perbelanjaan domestik, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi dalam jangka sederhana.
Pengumuman ini dilihat sebagai isyarat awal bahawa BNM bersedia bertindak proaktif dalam menstabilkan ekonomi negara berikutan cabaran luaran yang tidak menentu.

