SHAH ALAM – Budaya Wayang Pacak yang sinonim dengan masyarakat dahulu kembali dihidupkan dengan pendekatan moden menerusi program Cinemove Wayang Pacak Siri 4 anjuran pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif (Produksi Filem), Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Perdana.
Penganjuran ini bertujuan memperkasakan komuniti melalui tayangan filem yang inklusif, penuh inspirasi serta menjadi platform untuk mempromosikan filem tempatan kepada khalayak lebih meluas.
Penasihat Kelab Cinemove merangkap pensyarah Fakulti FiTA, Encik Azlan Syah Rashid pula menyifatkan inisiatif ini sebagai usaha penting dalam memperkukuh kemahiran pelajar.
“Program seperti ini bukan sahaja meningkatkan daya saing pelajar, malah mengasah kemahiran insaniah seperti kepimpinan, komunikasi dan penyelesaian masalah,” katanya.
\”Unisinema@UiTM menerusi Cinemove Wayang Pacak sekali lagi membuktikan komitmen terhadap pengembangan sinema tempatan dan menjadi wadah penting dalam pembangunan bakat muda dalam industri kreatif negara.\”
Program Cinemove Wayang Pacaksebelum ini telah menampilkan pelbagai karya tempatan seperti Mar Rak arahan Datuk Ts Jeffry, Abnormal: Buas hasil terakhir Allahyarham Azhari Zain dan Gold arahan Adrian Teh.
Kali ini, program kembali dengan tayangan filem komedi aksi Martabat Misi Berdarah arahan Adrian Teh dan Zahiril Adzim, diterbitkan oleh GSC Movies dan Act 2 Pictures. Tayangan yang terbuka kepada lebih 250 penonton ini dihadiri oleh pelajar, barisan pelakon, penggiat industri serta wakil komuniti setempat.
Filem Martabat Misi Berdarah mengangkat kisah sekumpulan pelakon tambahan yang berjuang demi menempatkan diri dalam industri perfileman tanah air. Selain menyajikan hiburan, tayangan ini juga menjadi projek praktikal akhir pelajar CAFF237, memperkukuh pembelajaran secara langsung dalam bidang pengurusan tayangan dan produksi filem.
Kejayaan program ini turut digerakkan oleh dua produksi pelajar, iaitu Serenosfilm (semester empat) dan Kitahousefilm (semester dua), dengan bimbingan mantan Presiden Kelab Cinemove, Saudara Haleyson Roland dan Presiden semasa, Saudari Nurul Najihah Binti Mohamad Tarmizi. Kolaborasi strategik bersama GSC dan Act 2 Pictures membolehkan pelajar mengaplikasikan penggunaan peralatan serta teknik pengeluaran mengikut standard industri sebenar.
Pengarah Projek, Saudari Nur Fara Najmin menyatakan, “Program ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi kemahiran pengurusan dan kerjasama industri, malah membuka ruang untuk mengetengahkan suara baharu dalam industri perfileman tanah air.”

