KUALA LUMPUR – Pelbagai produk kosmetik dan makanan tambahan tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang disimpan untuk dijual secara dalam talian dirampas dalam satu serbuan di dua kediaman di Segambut, Rabu lalu.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, serbuan yang dijalankan itu turut membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun serta dua wanita warga asing berusia 28 dan 30 tahun.
“Dalam serbuan di kediaman pertama, pasukan polis menemui 1,972 kotak dan 2,551 botol pelbagai produk kosmetik serta makanan tambahan yang tidak mempunyai kelulusan KKM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, suspek lelaki kemudiannya membawa pihak berkuasa ke sebuah lagi kediaman yang menyimpan tambahan 180 kotak dan 895 botol produk sama, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM185,515.
Menurut Azmi, operasi tersebut turut disertai pegawai penguat kuasa KKM dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai usaha memutuskan rantaian pengedaran produk kesihatan haram serta membanteras ancaman terhadap keselamatan dan kesihatan pengguna.
Kes kini disiasat di bawah Peraturan 18A dan Peraturan 7(1)(a) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
DBKL turut mengeluarkan notis di bawah Seksyen 26(1)(a) Akta Perancangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terhadap pemilik premis kerana menukar kegunaan bangunan daripada kediaman kepada perdagangan tanpa kebenaran.
“Pengguna dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan bijak dalam menilai produk makanan dan kesihatan harian. Pastikan produk mempunyai kelulusan dan akreditasi yang sah daripada pihak berkuasa,” tegas beliau.
Azmi turut memberi amaran kepada pengendali platform media sosial serta e-dagang agar lebih bertanggungjawab dan memantau aktiviti jualan supaya tidak menjual barangan yang melanggar undang-undang.
Beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak 167 serbuan telah dijalankan sejak Januari hingga 16 Julai lalu, melibatkan penahanan 300 individu atas pelbagai kesalahan termasuk penyeludupan barangan tidak berkastam, penjualan senjata tiruan, dan perdagangan e-sisa.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan sepanjang tempoh tersebut dianggarkan melebihi RM541 juta. Polis akan terus mempergiat risikan dan operasi bagi membanteras aktiviti yang mengancam keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

