KUALA LUMPUR – Selebriti dan aktivis kemasyarakatan, Ariz Ramli atau lebih dikenali sebagai Caprice, mencetuskan perhatian selepas memuat naik hantaran di media sosial yang dipercayai menyindir seorang peguam, Tun Laila, berhubung isu kes enam mangsa pukul yang pernah diperjuangkannya sebelum ini.
Dalam hantaran tersebut, Caprice mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang didakwa cuba menyekatnya daripada terus bersuara mengenai kes berkenaan.
Caprice turut meluahkan rasa kecewa apabila perjuangannya membela mangsa didakwa diperkecilkan dan diperlekeh.
“Lawak ke Caprice kena suruh diam dari mahkamah? @beyarafaee best kan gelakkan orang yang membela enam mangsa pukul, dapat ugutan bunuh, dan akhirnya disenyapkan,” tulisnya di Instagram.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada arahan supaya beliau tidak lagi mengulas lanjut mengenai kes tersebut, yang sebelum ini mendapat perhatian umum termasuk liputan media dan perbincangan di platform dalam talian.
Tinjauan MYBERITA di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna media sosial mempertahankan Caprice, malah ada yang mempersoalkan tindakan individu yang didakwa memperlekeh usahanya membela mangsa.
“Tak kelakar. Caprice berjuang untuk membela mangsa tetapi and gelakkan dia sebab kena berdiam. Sumpah tak lawak,” tulis seorang pengguna.
“Jangan seronok sangat. Jadi peguam bukan tiket untuk tahu semua benda. Kadang-kadang data pun boleh diputar kerana duit. Kes enam orang itu senyap sahaja, tetapi yang disibukkan kejatuhan orang yang nak membela. Peguam atau content creator?,” tulis seorang lagi pengguna.
“Tak semua orang berpendidikan guna pendidikan mereka pada setiap masa. Ini contohnya,” tulis seorang pengguna.
Isu ini kembali hangat selepas Tun Laila, memuat naik sebuah video di laman TikTok membincangkan topik melibatkan Caprice dan ahli perniagaan, Ashraf Khalid, susulan sebuah podcast yang tular.
Video berkenaan telah meraih jumlah tontonan dan tanda suka yang tinggi di platform tersebut sekali gus mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan warganet.
Kes enam mangsa pukul yang menjadi punca pertelingkahan antara kedua-dua individu ini pernah mengundang simpati masyarakat.
Caprice ketika itu tampil membuat pendedahan mengenai nasib mangsa dan mendakwa menerima pelbagai tekanan termasuk ugutan bunuh.

