KUALA LUMPUR – Semua masjid dan surau di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan melaksanakan solat hajat dan bacaan Yasin pada Khamis ini bagi mendoakan Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata program itu sebagai tanda solidariti, doa dan ingatan umat Islam terhadap pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah tersebut.
Menurutnya, ikhtiar itu juga bagi memohon agar Allah SWT mencucuri rahmat, mengampuni segala dosa serta menempatkan arwah dalam kalangan orang beriman.
“Saya menyeru seluruh umat Islam, khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan, untuk hadir dan menyertai solat hajat serta bacaan Yasin di masjid atau surau masing-masing.
“Semoga doa yang dipanjatkan secara berjemaah memberi ketenangan kepada ahli keluarga dan menjadi bekalan pahala buat arwah,” katanya dalam kenyataan, Rabu ini.
Pada Jumaat lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan kubur Zara Qairina, 13, perlu digali semula bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.
Langkah itu diambil selepas AGC berpendapat siasatan lanjut diperlukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan penyiasatan menyeluruh.
Susulan itu, pada 9 Ogos, kubur arwah di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang, digali semula dan jenazah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk proses bedah siasat, sebelum dikebumikan semula awal pagi semalam di tanah perkuburan sama.
Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I pada 17 Julai, sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama SMKA Tun Datu Mustapha pada jam 4 pagi, 16 Julai lalu.

