KUALA LUMPUR – Ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, mengakui dia tidak dapat berfikir dengan waras ketika diminta memberi persetujuan untuk bedah siasat ke atas jenazah anaknya.
Noraidah Lamat, 45, berkata dia terkejut, panik dan tidak dapat membuat keputusan yang wajar semasa kejadian itu berlaku.
“Tiada penjelasan yang jelas dan kami tidak biasa dengan kes seperti ini. Kami panik dan tiada nasihat diberikan mengenai proses bedah siasat. Jika tahu, kami tidak akan menurunkan tandatangan untuk menolak bedah siasat itu,” katanya dalam satu komen di Facebook.
Peguamnya, Hamid Ismail, mengesahkan akaun dengan nama pengguna “Noie AiDa” itu adalah milik Noraidah.
Rabu lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M Kumar, mendedahkan pasukan Task Force yang memulakan siasatan pada 11 Ogos lalu mendapati terdapat ketidakpatuhan kepada prosedur siasatan.
Pegawai penyiasat didapati tidak membuat permohonan untuk proses bedah siasat terhadap jenazah Zara Qairina.
Sehubungan itu, beliau dilapor berkata tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai penyiasat dan penyelia kerana tiada penyeliaan dilakukan semasa proses itu.
Bagaimanapun, Kumar dipetik berkata terdapat persetujuan atau permohonan daripada ibu mangsa supaya bedah siasat tidak dijalankan.
Persetujuan ini direkodkan melalui tandatangan ibu mangsa, doktor, patalogi dan pegawai penyiasat dalam dokumen bertajuk ‘Surat Akuan Enggan Bedah Siasat Mayat Atas Kemahuan Sendiri’ yang dikeluarkan pihak hospital.

