KUALA LUMPUR – “Adik saya pergi dalam keadaan syahid,” demikian luahan seorang wanita, Adillin Hasnul Hafidzan mengenai pemergian adiknya, Nuraderrah Hasnul Hafidzan, 31, yang meninggal dunia selepas bersalin pada 19 Ogos lalu.
Menurut Adillin, adiknya yang juga merupakan seorang pegawai tadbir di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), tidak mempunyai sebarang penyakit serius dan dalam keadaan sihat sebelum bersalin bagi melahirkan bayi pramatang tujuh bulan yang gugur.
Namun, arwah mengalami komplikasi beberapa jam kemudian sebelum menghembuskan nafas terakhir.
“Arwah sangat teruja menanti kelahiran anak kedua. Semua barang bayi sudah disiapkan, tetapi Allah lebih menyayanginya. Kehilangannya sangat mengejutkan kerana dia tidak menunjukkan tanda-tanda sakit yang berat,” katanya ketika dihubungi MYBERITA hari ini.
Adillin turut berkongsi bahawa seorang ustaz masjid yang menguruskan jenazah memberi tahu terdapat tanda-tanda arwah meninggal dalam keadaan mulia.
“Ustaz cakap arwah berkemungkinan besar tergolong dalam kalangan syahid kerana meninggal selepas bersalin. Wajahnya kelihatan berseri, berpeluh selepas dimandikan dan malah menitiskan air mata. Itu antara tanda-tanda kemuliaan Allah berikan kepadanya,” katanya sebak.
Pemergian ini meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja kepada keluarga, malah rakan sekerja serta kenalan. Ratusan hadir menunaikan solat jenazah dan mengiringinya ke liang lahad dalam suasana penuh hiba.

Arwah meninggalkan suami dan seorang anak kecil. Beliau juga merupakan bekas pelajar Tunku Kurshiah College (TKC) dan Pennsylvania State University, Amerika Syarikat.

