Tak perlu pertikai keputusan AIM, Siti Nurhaliza anggap setiap penyanyi ada keunikan tersendiri

SUBANG – Biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menegaskan bahawa keputusan Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-24 baru-baru ini tidak wajar dipertikaikan kerana setiap artis memiliki keunikan dan rezeki tersendiri.

Siti atau nama sebenarnya, Siti Nurhaliza Tarudin, 46, berkata pemilihan pemenang dibuat melalui penilaian profesional barisan juri mengikut kriteria tertentu, justeru perdebatan atau pertikaian selepas pengumuman keputusan tidak sepatutnya timbul.

“Kita jangan mempertikaikan mana-mana pihak. Bagi saya, setiap orang ada suara yang tersendiri, unik dan sudah ditentukan rezekinya.

“Setiap tahun juri berbeza dan mereka sudah sepakat memilih pemenang mengikut kriteria. Malah, siapa yang dicalonkan ke peringkat akhir pun sudah dianggap menang, cuma rezeki siapa yang dipilih juara bergantung kepada penilaian juri ketika itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada acara Paddle For Hope anjuran Yayasan Nurjiwa di Grand Pickleball Arena, semalam.

Sebagai artis berpengalaman luas dalam AIM, Siti berkata beliau memahami sistem penjurian yang dilaksanakan.

“Saya sudah melalui AIM berpuluh tahun dan faham cara penjurian. Memang tahun ini saya tak rasa saya akan menang kerana penilaian juri sentiasa berubah mengikut tahun. Saya percaya sesiapa yang menang memang selayaknya dan tidak perlu dipersoalkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Siti turut menyentuh mengenai perubahan dalam kategori Etnik Kreatif yang kini memberi penekanan terhadap penggunaan dialek tempatan.

“Saya perhatikan kategori etnik kreatif sekarang lebih kepada nyanyian dialek, seperti lagu Bea Soba Bea. Akan datang kalau saya nak sertai kategori ini, saya akan pastikan ada dialek dalam lagu.

“Kalau kategori tradisional pula, mungkin juri mahu karya yang benar-benar asli tanpa muzik moden,” jelasnya.

Terdahulu, penyanyi Atilia Haron mencuri perhatian apabila memuat naik kenyataan di media sosial membandingkan industri tempatan dengan artis antarabangsa seperti Norah Jones dan Sade yang mampu menawan dunia tanpa perlu meninggikan suara.

BACA JUGA:  Mahkamah arah Caprice fail pembelaan kes fitnah terhadap Asyraf Khalid

Hantaran itu kemudian dipadam, namun tetap dikaitkan warganet dengan kejayaan besar Aina Abdul yang merangkul trofi utama AIM 24.

Ezza Azira
Ezza Azira
ezza@portalmyberita.com

TRENDING

Tiada unsur jenayah dalam tragedi Pelantar Sepat, punca sebenar masih disiasat – Polis

KUALA TERENGGANU – Insiden kemalangan di pelantar minyak Sepat...

31,600 jemaah haji Malaysia mula bergerak ke Arafah

MAKKAH – Suasana penuh tertib dan berdisiplin mewarnai pergerakan...

Arif Aiman tamatkan zaman bujang, sah bergelar suami kepada Aliah Natasha

JOHOR BAHRU - Pemain sayap Arif Aiman Hanapi kini...

JPJ tangguh sementara urusan tukar hak milik kenderaan ‘online’ mulai 25 Mei

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) akan...

Linda Jasmine, Ratu tersingkir minggu keenam TTMM2

SHAH ALAM - Perjalanan pasangan Linda Jasmine dan Ratu...