SEBERANG PERAI – Polis menahan dua lelaki termasuk seorang warga Bangladesh bagi membantu siasatan kes pembunuhan kejam melibatkan dua beranak di sebuah rumah sewa di Kampung Sekolah Juru, Sabtu lalu.
Difahamkan, kedua-dua suspek masing-masing berusia 45 dan 46 tahun itu diberkas di dua lokasi berasingan selepas dipercayai mengenali mangsa utama berusia 51 tahun.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan bahawa siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian.
“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 26 Oktober ini bagi membantu siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sebelum ini, dua beranak ditemukan maut dengan kesan kecederaan parah di kediaman mereka pada Sabtu, dipercayai akibat serangan menggunakan senjata tajam.
Polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

