GEORGE TOWN – Kedudukan kewangan Pulau Pinang terus menunjukkan prestasi cemerlang apabila unjuran kutipan hasil semasa mengisyaratkan kemungkinan negeri itu mencatat lebihan hasil (surplus) bagi tahun kewangan 2026.
Perkembangan positif tersebut diumumkan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Menurut beliau, gambaran kewangan negeri bertambah baik seiring dengan penurunan berterusan kadar defisit sejak beberapa tahun lalu.
“Berdasarkan anggaran terkini, defisit bagi tahun 2026 dijangka hanya RM19.92 juta, berbanding RM33.63 juta pada 2025 dan RM514.53 juta pada 2024. Ini merupakan pencapaian yang amat membanggakan.
“Melihat kepada kutipan hasil semasa dan jangkaan sehingga penutupan akaun, negeri berkemungkinan mencatatkan lebihan hasil,” katanya.
Chow (PH–Padang Kota) berkata, Rang Undang-Undang Perbekalan Tahun 2026 memperuntukkan RM1.087 bilion bagi Perbelanjaan Mengurus dan RM318.62 juta untuk pembangunan, dengan anggaran hasil negeri berjumlah RM1.068 bilion.
Katanya, prestasi fiskal itu mencerminkan keberkesanan dasar pentadbiran negeri dalam meningkatkan hasil, mengurus perbelanjaan dengan berhemah dan memperkukuh perancangan kewangan jangka panjang.
“Langkah-langkah pengurusan kewangan yang teratur membolehkan kita mengekang defisit dan membuka ruang kepada potensi lebihan hasil,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri sedang memuktamadkan Peraturan-Peraturan Mineral Negeri Pulau Pinang bagi memastikan aktiviti penerokaan sumber mineral, khususnya elemen nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE), dilaksanakan secara bertanggungjawab dan mematuhi standard keselamatan.
Chow berkata, sumber teragak NR-REE di negeri itu dianggarkan mencecah 1.7 juta tan metrik dengan nilai sekitar AS$21 bilion (RM87.29 bilion), tertakluk kepada pengesahan melalui kajian terperinci.
Antara kawasan dikenal pasti termasuk Teluk Bahang, Balik Pulau, Bukit Mertajam dan Bukit Panchor.
“Potensi ini mampu memperkukuh ekonomi negeri, namun ia perlu diurus secara berhati-hati berasaskan data saintifik dan rangka kawal selia yang kukuh,” katanya.

