“Rezeki tak sangka”, KRU rangkul trofi ABP37 lepas hampir tiga dekad

KUALA LUMPUR – Selepas puluhan tahun meninggalkan pentas anugerah kategori popular, kumpulan rap legenda tanah air, KRU, kembali mencipta detik manis apabila diumumkan sebagai pemenang kategori Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan pada Anugerah Bintang Popular ke-37 (ABP37).

Kemenangan itu disifatkan sebagai rezeki tidak disangka-sangka, lebih-lebih lagi apabila ia hadir seiring kebangkitan semula KRU di pentas hiburan menerusi penganjuran konsert berskala besar serta sokongan padu peminat daripada pelbagai generasi.

Salah seorang anggotanya, Datuk Norman Abdul Halim, 53, berkata pengiktirafan tersebut memberi makna yang sangat besar buat kumpulan itu memandangkan jarak kemenangan yang terlalu panjang sejak kali terakhir mereka menjulang trofi hampir tiga dekad lalu.

“Alhamdulillah, pertama sekali syukur kerana legasi KRU masih hidup. Faktor utama ialah sokongan ibu bapa sejak era 1990-an, dan kini anak-anak mereka pula membesar dengan lagu-lagu kami. Bila kami buat konsert, generasi baharu turut hadir memberi sokongan.

“Lagu-lagu kami mungkin lama, tetapi masih diputarkan dan terus relevan. Itu yang membantu kami meremajakan semula karya-karya terdahulu. Apabila KRU bergabung semula, sambutannya memang luar biasa,” katanya kepada MYBERITA.

Mengimbau detik diumumkan sebagai pemenang, Norman mengakui perasaan sebak sukar dibendung, apatah lagi kemenangan itu dianggap refleksi kepada segala usaha dan perjalanan panjang KRU dalam industri muzik tanah air.

“Terus terang, bila sebut soal kemenangan, saya meremang. Kali terakhir kami menang sekitar 1996, lama sangat. Tahun ini benar-benar mencerminkan hasil kerja keras kami.

“Selepas konsert besar yang dianjurkan, sokongan peminat semakin meledak. Kami sangat menghargai usaha mereka kerana kami bertanding pun disebabkan peminat. Mereka mengundi habis-habisan. Jadi kemenangan ini sebenarnya milik peminat,” ujarnya lagi.

Pada ABP37, KRU menewaskan lima pencabar lain termasuk Aisha Retno & Aziz Harun, De Fam, Dolla, serta Akim & The Majistret.

BACA JUGA:  ‘Saya rasa ditikam belakang’, Allan Andresn dakwa dikhianati Ridhwan Azman

ABP37 yang bertemakan ‘Satu Keunggulan’ dipilih sebagai simbol penyatuan, keunikan serta penghormatan terhadap para seniman yang telah merintis jalan dalam dunia seni hiburan tanah air.

Malam kemuncak anugerah itu dihoskan oleh Raja Azura dan Shiha Zikir, sekali gus mengekalkan reputasi ABP sebagai anugerah pilihan peminat paling berprestij dan paling lama bertahan di Malaysia.

Aqilah Nadhirah
Aqilah Nadhirah
aqilahnadhirah@portalmyberita.com

TRENDING

Sambutan HAWANA 2026 angkat tema ‘Media Berintegriti, Teras Kredibiliti’ di Pulau Pinang

KUALA LUMPUR - Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026...

Pelakon Jalil Hamid meninggal dunia

KUALA LUMPUR - Dunia seni tanah air dikejutkan dengan...

Anak Nana Mahazan, Althea peserta pertama tersingkir minggu ketiga TTMM2

SHAH ALAM - Perjalanan seni penyanyi muda, Althea bersama...

Jangan sekadar statistik, pendidikan perlu ada hasil – Zambry

KUALA LUMPUR - Kongres Pendidikan Bumiputera tampil dengan pendekatan...

Agong, Raja Permaisuri seru kebajikan pekerja terus diperkasa

KUALA LUMPUR - Sultan Ibrahim bersama Raja Zarith Sofiah...