KUALA LUMPUR – Sultan Ibrahim bersama Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan Selamat Hari Pekerja kepada seluruh warga kerja yang disifatkan sebagai tulang belakang pembangunan negara.
Menerusi satu hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda berdua merakamkan penghargaan atas segala pengorbanan dan dedikasi yang ditunjukkan para pekerja dalam pelbagai sektor, sama ada di peringkat awam mahupun swasta.
“Peranan pekerja amat penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara serta memastikan kestabilan dan kemakmuran terus terpelihara, meskipun berdepan cabaran ekonomi yang semakin mencabar ketika ini,”
Baginda turut menekankan kepentingan kebajikan pekerja agar sentiasa diberi perhatian, termasuk aspek keselamatan di tempat kerja, keseimbangan kehidupan serta peluang pembangunan kerjaya.
Menurut Baginda, langkah itu penting bagi memastikan golongan pekerja kekal berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi semasa.
Dalam masa sama, Seri Paduka Baginda berdua turut mendoakan agar seluruh pekerja di negara ini sentiasa dilindungi serta dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

