KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menegaskan bahawa sebarang penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dana awam, penerimaan rasuah atau perlindungan terhadap perasuah oleh Ahli Yang Berhormat dan penjawat awam merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap negara.
Baginda bertitah bahawa jawatan yang disandang oleh pemimpin politik dan penjawat awam bukan satu keistimewaan, sebaliknya amanah rakyat dan negara yang wajib dilaksanakan dengan penuh integriti dan tanggungjawab.
“Jika awak menyeleweng, menerima rasuah atau bersubahat melindungi perasuah, awak adalah pengkhianat negara,” titah Baginda ketika menyampaikan Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Kelima Belas di Bangunan Parlimen, hari ini.
Selain isu integriti, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap ancaman moden yang semakin mencabar keselamatan negara, khususnya berkaitan keselamatan digital, integriti maklumat serta penggunaan teknologi deep fake yang berpotensi membuka ruang kepada penipuan berskala besar dan menggugat kestabilan sosial.
Menurut Baginda, penyebaran maklumat palsu dan manipulasi kandungan digital bukan sahaja menjejaskan kepercayaan rakyat, malah mampu mencetuskan ketegangan serta ketidakstabilan dalam masyarakat majmuk negara.
Sehubungan itu, Baginda menegaskan keperluan tindakan menyeluruh dan berkesan oleh kerajaan serta agensi berkaitan bagi memperkukuh kawal selia keselamatan siber, melindungi integriti maklumat awam dan memastikan undang-undang sentiasa relevan dengan cabaran teknologi semasa.
Titah tersebut sekali gus menjadi peringatan tegas bahawa pembinaan negara bangsa yang kukuh memerlukan kepimpinan berintegriti serta kesiapsiagaan tinggi dalam menghadapi ancaman baharu yang semakin kompleks.

