MELAKA – Lapan penuntut sebuah kolej vokasional di negeri ini ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam pergaduhan dan memukul seorang pelajar minggu lalu, dipercayai hanya kerana mangsa didakwa memotong barisan ketika waktu makan.
Perkara itu disahkan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman, yang menegaskan kes berkenaan masih dalam siasatan.
Katanya, semua pelajar terbabit kini dikenakan tindakan penggantungan persekolahan selama dua minggu sehingga siasatan selesai, dan semua tindakan berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan (KPM).
“Kes berkenaan dikatakan berpunca daripada rasa tidak puas hati dengan mangsa yang didakwa memotong barisan ketika beratur waktu makan. Semua tindakan ketika ini adalah di bawah KPM kerana ia membabitkan kolej, manakala Jabatan Pendidikan Negeri hanya membimbing dari segi prosedur tindakan,” jelas beliau.
Menurutnya, lapan pelajar itu direman bagi membantu siasatan sebelum dikenakan penggantungan sementara oleh kolej. Setakat ini, tiada tindakan buang sekolah dikenakan, namun terdapat pelajar yang memohon pertukaran institusi. Perkara itu tertakluk kepada kelulusan Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (BPLTV), KPM.
Difahamkan, seorang pelajar dipercayai dipukul sekumpulan pelajar di kolej berkenaan, namun mangsa enggan menceritakan kejadian kepada sesiapa. Kejadian terbongkar selepas bapanya menyedari perubahan pelik pada anaknya dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah.

