Isa Samad dijatuhi penjara 6 tahun, denda RM15.45 juta

PUTRAJAYA – Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad diperintah menjalani hukuman penjara enam tahun serta didenda RM15.45 juta oleh Mahkamah Persekutuan di sini semalam selepas didapati bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim yang diketuai Datuk Nordin Hassan selepas membenarkan rayuan pendakwaan dan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini membebaskan Mohd. Isa, 77.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali.

Mahkamah tertinggi negara itu seterusnya mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mensabitkan Mohd. Isa bersalah serta menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta, atau penjara 18 tahun sekiranya gagal membayar denda.

Sepanjang prosiding, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz manakala Mohd. Isa diwakili peguam M. Athimulan.

Dalam rayuan berkenaan, pendakwaan memohon Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang pada Mac 2024 melepas dan membebaskan Mohd. Isa daripada semua pertuduhan.

Ketika penghujahan, Afzainizam berhujah saksi pendakwaan ke-21 (SP21), Muhammad Zahid Md. Arip yang juga bekas pegawai khas politik Mohd. Isa, telah memberi keterangan jelas bahawa tertuduh mengarahkannya meminta rasuah daripada Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn. Bhd, Ikhwan Zaidel.

Menurut pendakwaan, Muhammad Zahid bertindak sebagai perantara menerima wang rasuah daripada Ikhwan yang diserahkan sebanyak sembilan kali sebelum disampaikan secara berperingkat kepada Mohd. Isa.

Pendakwaan turut menegaskan bahawa ketiadaan saksi mata bagi penyerahan wang itu menguatkan kes bahawa hanya tiga individu terbabit sahaja mengetahui transaksi rasuah berkenaan.

BACA JUGA:  Naim Daniel syukur masih mampu berkarya walau berdepan pendakwaan

Sementara itu, pihak pembelaan berhujah bahawa rayuan pendakwaan tidak bermerit dan keputusan Mahkamah Rayuan adalah betul serta tidak wajar dicampur tangan oleh Mahkamah Persekutuan.

Pendakwaan memfailkan notis rayuan pada 7 Mac 2024 dan petisyen rayuan pada 26 Jun tahun lalu dengan mengemukakan 24 alasan antaranya Mahkamah Rayuan terkhilaf dari segi undang-undang apabila membatalkan dapatan Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Rayuan sebelum ini membebaskan Mohd. Isa selepas berpuas hati bahawa tiada bukti kukuh termasuk penggunaan kod perkataan ‘salam’ yang mengaitkan beliau secara langsung dengan kes rasuah berkenaan.

Untuk rekod, Mohd. Isa didakwa pada 2018 atas sembilan pertuduhan menerima suapan berjumlah RM3.09 juta sebagai balasan membantu meluluskan pembelian MPHS oleh Felda Investment Corporation Sdn. Bhd. pada harga RM160 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Menara Felda, Persiaran KLCC antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015 mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Aqilah Nadhirah
Aqilah Nadhirah
aqilahnadhirah@portalmyberita.com

TRENDING

Tiada unsur jenayah dalam tragedi Pelantar Sepat, punca sebenar masih disiasat – Polis

KUALA TERENGGANU – Insiden kemalangan di pelantar minyak Sepat...

31,600 jemaah haji Malaysia mula bergerak ke Arafah

MAKKAH – Suasana penuh tertib dan berdisiplin mewarnai pergerakan...

Arif Aiman tamatkan zaman bujang, sah bergelar suami kepada Aliah Natasha

JOHOR BAHRU - Pemain sayap Arif Aiman Hanapi kini...

JPJ tangguh sementara urusan tukar hak milik kenderaan ‘online’ mulai 25 Mei

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) akan...

Linda Jasmine, Ratu tersingkir minggu keenam TTMM2

SHAH ALAM - Perjalanan pasangan Linda Jasmine dan Ratu...