KUALA LUMPUR – Selepas tiga tahun menyepi daripada pentas Malaysia, Dewa 19 kembali dengan sebuah konsert berskala besar yang dijangka menghimpunkan ribuan peminat setia di ibu negara.
Konsert bertajuk Dewa 19 – Cintaku Tertinggal di Malaysia bakal berlangsung pada 6 Jun depan di Axiata Arena Bukit Jalil, sekali gus menjadi momen pertemuan semula antara kumpulan legenda Indonesia itu dengan peminat mereka di negara ini.
Kumpulan yang diterajui Ahmad Dhani bersama barisan anggota Andra Ramadhan, Yuke Sampurna dan Agung Yudha menyifatkan Malaysia sebagai ‘rumah kedua’ memandangkan hubungan erat yang terjalin sejak lebih dua dekad lalu.
Menurut Ahmad Dhani, kerjasama bersama penganjur, Iman Tang, sudah bermula sejak awal 2000-an dan menjadi antara faktor utama Dewa 19 terus memilih Malaysia sebagai destinasi konsert luar negara mereka.
Konsert anjuran Icon Entertainment itu turut mencipta sejarah tersendiri apabila menghimpunkan tiga vokalis utama Dewa 19 iaitu Ari Lasso, Virzha dan Marcello Tahitoe (Ello) di satu pentas yang sama, selain penampilan khas pemain dram Tyo Nugros.
Lebih menarik, band Padi Reborn bakal membuat penampilan istimewa sebagai artis jemputan, menjadikan konsert ini sebagai pertemuan dua nama besar muzik Indonesia dalam satu malam.
Iman Tang berkata, konsep persembahan kali ini lebih sederhana dan tidak terlalu ekstravaganza, sebaliknya memberi fokus kepada kekuatan lagu-lagu hit serta karisma kedua-dua band yang sudah terbukti mampu memukau penonton.
Kali terakhir Dewa 19 beraksi di Malaysia adalah pada 2023 menerusi konsert Dewa 19: A Night At The Orchestra – Chapter 5.
Sebagai kelainan, peminat digalakkan mengenakan kemeja-T band original sebagai tanda sokongan kepada idola masing-masing.
Tiket konsert dijual pada harga RM236 (Atas Nama Cinta), RM288 (Bala Sobat), RM388 (Pangeran Cinta), RM428 (Laskar Cinta) dan RM488 (Sedang Ingin Bercinta) dan boleh didapati bermula 27 Februari ini menerusi laman sesawang Ticket2U.

