KUALA LUMPUR – Isu kesiapsiagaan hospital kerajaan dalam menghadapi peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) serta cabaran rawatan talasemia antara perkara yang dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Parlimen, Chong Zhemin (PH-Kampar) meminta Menteri Kesihatan menyatakan tahap kesiapsiagaan hospital kerajaan berdepan peningkatan penyakit seperti diabetes dan penyakit jantung.
Beliau turut meminta penjelasan mengenai peruntukan khusus bagi langkah pencegahan awal dalam menangani peningkatan kes NCD.
Sementara itu, Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) memohon Menteri Kesihatan menyatakan jumlah terkini pesakit talasemia di negara ini serta anggaran kos rawatan bagi seorang pesakit bermula dari usia kanak-kanak sehingga 40 tahun. Beliau juga ingin mengetahui sama ada kerajaan bercadang membangunkan kaedah rawatan terapi gen (Gene Therapy) bagi pesakit talasemia pada masa hadapan.
Pada sesi sama, Syahredzan Johan (PH-Bangi) mengemukakan soalan kepada Menteri Pengangkutan berhubung cadangan perubahan waktu puncak perkhidmatan Rapid Rail sepanjang Ramadan susulan perubahan pola pergerakan pengguna serta penetapan waktu puncak baharu.
Selain itu, Richard Rapu (GPS-Betong) meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menjelaskan rangka kerja Malaysia Care Economy serta pelan tindakan 2026-2030 dalam menangani jurang akses, kualiti dan tenaga kerja penjagaan melibatkan warga emas, kanak-kanak serta Orang Kurang Upaya (OKU). Beliau turut memohon penjelasan mengenai sasaran, peruntukan dan indikator prestasi utama bagi tempoh berkenaan.
Selesai sesi soal jawab, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) dijadual membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.1) dan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026 bagi bacaan kali pertama.
Menteri Kewangan pula akan membentangkan RUU Perbekalan Tambahan (2025) 2026 untuk bacaan kali pertama, selain RUU Pemberian Mengikut Bilangan Orang 2026 bagi bacaan kali kedua. Turut dijadualkan ialah pembentangan usul mengenai Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi).

