KUANTAN – Seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ditahan polis awal pagi ini susulan siasatan berhubung dakwaan menghina Islam di media sosial.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata suspek ditahan sejurus Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan menerima laporan berkaitan kes itu.
“Polis sudah menahan penuntut disyaki menghina Islam dan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Kes ini tular sejak semalam selepas gambar seorang lelaki dewasa memijak al-Quran dan tangkap layar hantaran individu terbabit tersebar di media sosial.
Turut tersebar adalah tangkap layar komen yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW.
Yahaya menjelaskan polis akan memohon perintah reman terhadap penuntut tersebut bagi membolehkan siasatan dijalankan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana menghina agama lain, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, jika sabit kesalahan.
Suspek juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menggunakan kemudahan rangkaian untuk menghantar komunikasi bersifat menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu orang lain, dengan hukuman penjara sehingga setahun, denda maksimum RM50,000, atau kedua-duanya sekali.

