KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan MADANI akan terus berusaha memastikan setiap rakyat, sama ada di bandar mahupun di desa, menikmati pembangunan serta kemudahan asas yang sewajarnya tanpa dipinggirkan.
Perdana Menteri menyatakan perkara itu menerusi hantaran ringkas di Facebook hari ini sebagai reaksi terhadap penghargaan penduduk Kampung Chatel Damai berhubung pembinaan jambatan baharu di kampung berkenaan.
Jambatan baharu ini dibina bagi menggantikan titi gantung berusia 24 tahun yang runtuh pada 1 Januari lepas.
Pada 2 Januari, Anwar telah mengarahkan agar peruntukan segera disediakan bagi menggantikan titi gantung yang runtuh di Lata Rek bagi menjamin keselamatan dan kemudahan rakyat.
Sebelum ini, media melaporkan suasana meriah majlis perkahwinan sepasang pengantin bertukar cemas apabila titi gantung yang dilalui tetamu mereka tiba-tiba runtuh, mengakibatkan lebih 50 orang terjatuh ke dalam Sungai Chatel Damai.
Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Kelantan, Jasri Kasim, berkata kos pembinaan jambatan besi sepanjang 50 meter dan lebar tiga meter itu dianggarkan kurang daripada RM400,000.
Pembinaan jambatan baharu ini sekali gus menjadi bukti komitmen kerajaan MADANI dalam memastikan keselamatan, keselesaan dan pembangunan asas untuk rakyat, khususnya di kawasan pedalaman seperti Lata Rek. – MYBERITA

