Penjawat awam Selangor terima insentif Aidilfitri sebulan gaji hari ini

SHAH ALAM – Penjawat awam di Selangor hari ini menerima Insentif Khas Kita Selangor Aidilfitri (IKSA) sebanyak sebulan gaji atau minimum RM1,000 seperti diumumkan kerajaan negeri sebelum ini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi perkongsian di Instagram, yang menyatakan bayaran insentif tersebut mula disalurkan hari ini sebagai tanda penghargaan kepada penjawat awam negeri.

“Insya-Allah, hari ini Insentif Kita Selangor Aidilfitri (IKSA) 2026 sebanyak sebulan gaji akan disalurkan buat semua penjawat awam Negeri Selangor sebagai tanda penghargaan serta bagi membantu persiapan menjelang Aidilfitri ini,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri mengumumkan pemberian IKSA melibatkan bayaran satu bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada penjawat awam negeri.

Insentif sama turut diberikan kepada pemimpin masyarakat termasuk Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Pegawai Perhubungan Kampung Baru/Bagan, Ketua Komuniti India, Penyelia Wanita Berdaya (PWB) serta Penggerak Belia Selangor (PeBS) dengan kadar satu bulan elaun minimum RM500.

Selain itu, petugas masjid dan guru-guru rakyat di negeri ini turut menerima insentif sebanyak RM500.

Kerajaan negeri juga sebelum ini mengumumkan bantuan sebanyak RM300 kepada kira-kira 50,000 penjawat awam Persekutuan bergaji RM3,000 ke bawah yang berkhidmat di Selangor sebagai usaha memperkukuh hubungan antara negeri dan Persekutuan.

Secara keseluruhan, pemberian Insentif Khas Kita Selangor Aidilfitri ini melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM66.25 juta.

Langkah tersebut dilihat mampu membantu penjawat awam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba dalam masa terdekat. – MYBERITA

BACA JUGA:  Jalur Gemilang lambang cinta negara, MB Selangor sokong inisiatif KPM
Ezza Azira
Ezza Azira
ezza@portalmyberita.com

TRENDING

Tiada unsur jenayah dalam tragedi Pelantar Sepat, punca sebenar masih disiasat – Polis

KUALA TERENGGANU – Insiden kemalangan di pelantar minyak Sepat...

31,600 jemaah haji Malaysia mula bergerak ke Arafah

MAKKAH – Suasana penuh tertib dan berdisiplin mewarnai pergerakan...

Arif Aiman tamatkan zaman bujang, sah bergelar suami kepada Aliah Natasha

JOHOR BAHRU - Pemain sayap Arif Aiman Hanapi kini...

JPJ tangguh sementara urusan tukar hak milik kenderaan ‘online’ mulai 25 Mei

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) akan...

Linda Jasmine, Ratu tersingkir minggu keenam TTMM2

SHAH ALAM - Perjalanan pasangan Linda Jasmine dan Ratu...