KUALA LUMPUR – Masalah kekurangan bilik ketika musim perayaan bukan lagi halangan buat sebuah keluarga besar yang tampil dengan idea kreatif apabila memilih untuk tidur di dalam khemah.
Menerusi satu video yang tular di media sosial, seorang pengguna dikenali sebagai @Nrl.ryenaa berkongsi suasana keluarganya yang menyediakan beberapa buah khemah bagi menampung kehadiran adik-beradik yang pulang berkumpul di kampung.
Menurutnya, langkah itu diambil kerana jumlah ahli keluarga yang ramai menyebabkan ruang bilik tidak mencukupi setiap kali musim perayaan.
“Bila bilik tak cukup, adik-beradik ramai, jadilah sebegini,” katanya ringkas dalam hantaran tersebut.
Menariknya, penggunaan khemah itu bukan sahaja membantu mengatasi masalah ruang, malah turut memastikan aspek penjagaan aurat dalam kalangan ahli keluarga terus terpelihara.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen terhibur dengan situasi tersebut, malah ada yang berseloroh menyamakannya seperti pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir.
“Ini PPS daerah mana ni? Kena hantar bantuan makanan,” tulis seorang pengguna secara berseloroh.
Namun begitu, ramai juga yang memuji kesedaran keluarga berkenaan dalam menjaga batas serta mencari solusi kreatif tanpa mengabaikan keselesaan.
Pemilik hantaran turut memaklumkan khemah yang digunakan dilengkapi kipas bagi mengurangkan rasa panas.
Perkongsian itu membuktikan bahawa kekangan ruang bukanlah penghalang untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan, sebaliknya mampu menjadi momen unik dan bermakna apabila diraikan bersama. – MYBERITA

