19 MRSM cemerlang GPM bawah 2.0, bukti kualiti pendidikan MARA

KUALA LUMPUR – Sebanyak 19 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mencatatkan Gred Purata Maktab (GPM) bawah 2.0 dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, sekali gus mencerminkan prestasi keseluruhan yang memberangsangkan.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pencapaian itu turut disokong kejayaan 80 pelajar yang memperoleh semua A+ dalam semua subjek, meningkat berbanding 69 pelajar tahun lalu.

Menurut beliau, lima MRSM terbaik berdasarkan GPM ialah MRSM Tun Ghafar Baba (1.139), MRSM Gemencheh (1.195), MRSM Taiping (1.224), MRSM Pengkalan Chepa (1.254) dan MRSM Kuala Kubu Bharu (1.284).

“Pencapaian keseluruhan MRSM seluruh Malaysia juga amat membanggakan. Saya ingin mengambil kesempatan di sini mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua guru, pentadbir MRSM serta pengurusan tertinggi Mara.

“Turut dirakamkan penghargaan kepada Bahagian Pendidikan Menengah atas komitmen, iltizam dan kerja kuat berpasukan yang berterusan dengan satu matlamat iaitu membangunkan anak bangsa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebanyak 11 MRSM turut mencatatkan peningkatan pencapaian dengan MRSM ATM Bera merekodkan lonjakan Gred Purata tertinggi.

Tambahnya, pencapaian mengikut subjek turut menunjukkan prestasi cemerlang, khususnya Matematik apabila 10 MRSM mencatatkan 100 peratus A, manakala 21 MRSM merekodkan keputusan sama bagi subjek Pendidikan Islam.

Beberapa subjek lain termasuk Pendidikan Moral, Pengajian Kejuruteraan Mekanikal, Elektrikal dan Elektronik, Bahasa Arab, Seni Visual serta Reka Cipta turut mencatat peningkatan Gred Purata subjek.

“Bagi subjek Sains, sebanyak 42.5 peratus calon memperoleh A dalam Fizik, manakala 40.5 peratus dalam Biologi dan 37.7 peratus dalam Kimia,” ujarnya.

Secara keseluruhan, seramai 7,636 calon daripada 57 MRSM mencatatkan Gred Purata Keseluruhan 2.067 dengan 100 peratus layak menerima sijil.

BACA JUGA:  Amirul Ikhwan buktikan masalah pendengaran bukan halangan raih ilmu

“Ini membuktikan MRSM terus kekal sebagai institusi pendidikan yang mampu melahirkan pelajar cemerlang dan berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata, pencapaian turut membanggakan bagi MRSM baharu seperti MRSM Ranau, Sabah dan MRSM Bintulu, Sarawak yang pertama kali menduduki peperiksaan SPM. – MYBERITA

Jafnieza Jafri
Jafnieza Jafri
jafnieza@portalmyberita.com

TRENDING

Suspek kes kurung, liwat remaja 14 tahun berjaya diberkas

KUALA LUMPUR - Pemburuan selama lima hari terhadap seorang...

Haroqs hanyutkan coklat ke laut demi anak-anak Gaza

KUALA LUMPUR - Pempengaruh media sosial, Muhammad Hareez Adzrami...

Tiada penyingkiran, Pak Azad & Amarra Sofea terselamat minggu kelima TTMM2

SHAH ALAM - Pasangan Pak Azad dan Amarra Sofea...

‘Travel around the world’ warnai Hari Guru Sekolah Sultan Alam Shah 2026

PUTRAJAYA - Sambutan Hari Guru peringkat Sekolah Sultan Alam...

Aidiladha di Malaysia disambut 27 Mei ini

KUALA LUMPUR - Umat Islam di seluruh Malaysia akan...