KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal, Shila Amzah mengakui bahawa membesarkan anak-anak dalam era moden kini merupakan satu cabaran besar, khususnya dalam berdepan isu kekeluargaan dan tekanan sosial masa kini.
Menerusi perkongsian di Threads, Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah berkata, kebimbangan itu timbul apabila melihat pelbagai isu semasa yang berlaku dalam masyarakat, termasuk dalam kalangan keluarga terdekat.
“Menjadi ibu bapa zaman sekarang ini bukan perkara mudah. Dengan usaha untuk memutuskan ‘generational trauma’, dengan gaya keibubapaan Asia, serta cabaran membesarkan anak istimewa.
“Membaca berita buat kita rasa takut, lebih-lebih lagi bila perkara itu berlaku dekat dengan kita,” katanya.
Menurutnya, sebagai ibu bapa, mereka mempunyai tanggungjawab untuk membuang norma atau amalan salah yang telah lama dianggap biasa dalam institusi keluarga.
“Kita ada tanggungjawab untuk buang benda-benda salah yang sudah dinormalisasikan supaya anak-anak tidak terkesan,” ujarnya.
Shila turut memaklumkan bahawa dia bersama suaminya, Ubai MZ memberi fokus sepenuhnya terhadap pembesaran anak-anak mereka agar tidak terpengaruh dengan masalah sosial.
“Yang dah dewasa mungkin kita tak mampu ubah, jadi kami hanya boleh fokus pada anak-anak,” katanya.
Untuk rekod, Shila kini mempunyai dua orang cahaya mata iaitu Rhea Akira, 2 tahun hasil perkahwinan bersama Ubai, serta Seth Uwais, 7 tahun daripada perkahwinan terdahulu.
Perkongsian itu mendapat perhatian ramai yang turut berkongsi pandangan sama mengenai cabaran membesarkan anak dalam dunia moden yang semakin kompleks. – MYBERITA

