Khamis, 11 Jun 2026

Aksi bahaya ‘driver’ bas riba kekasih ketika memandu cetus kemarahan

JOHOR BAHRU – Tindakan seorang pemandu bas yang didakwa memandu sambil ‘meriba’ seorang wanita dipercayai kekasihnya mengundang kemarahan orang ramai kerana membahayakan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya lain.

Kejadian itu dirakam oleh seorang penumpang sebelum dimuat naik di media sosial menerusi kumpulan Facebook Community Roda Johor (CRJ).

Difahamkan, insiden tersebut berlaku kira-kira pukul 2 petang kelmarin ketika bas berkenaan dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur ke Terminal Larkin Sentral di sini.

Menurut perakam video, dia turut menegur tindakan tersebut, namun mendakwa dimarahi oleh wanita berkenaan.

“Selepas ditegur, wanita itu mula mencarut kepada saya,” katanya.

Berdasarkan rakaman berdurasi kurang sembilan saat itu, wanita terbabit dilihat berada di tempat duduk pemandu dan seolah-olah turut mengendalikan bas berkenaan, manakala pemandu masih memegang stereng.

Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna mengecam tindakan tersebut dan menyifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab.

Orang ramai turut menggesa pihak berkuasa serta syarikat pengendali bas mengambil tindakan tegas selain memastikan aspek keselamatan dipertingkatkan, termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dalam kenderaan.

“Tiada etika pekerjaan. Bas sepatutnya perlu pasang juga CCTV dan harus dipantau oleh syarikat masing-masing. Dengan uniform pemandu pun macam tak ikut standard,” kata seorang pengguna.

Seorang pengguna menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak beretika memandangkan pemandu bas memikul tanggungjawab besar membawa nyawa penumpang.

“Pemandu bas tanggungjawabnya besar, bawa nyawa orang. Janganlah main-main macam ini. Kalau kekasih itu teringin sangat bawa bas, pergilah daftar dan belajar di tempat sepatutnya,” katanya.

Selain itu, terdapat juga pengguna yang menegaskan bahawa individu yang tidak bertauliah tidak sepatutnya dibenarkan mengendalikan kenderaan awam. –MYBERITA

Syahirah Zakaria
Syahirah Zakaria
syahirahzakaria@portalmyberita.com