KUALA LUMPUR – Tindakan seorang wanita menegur individu yang didakwa merokok di sebuah kedai makan mencuri perhatian warganet selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial, baru-baru ini.
Menerusi video yang dimuat naik di TikTok, wanita berkenaan dilihat berani menegur seorang lelaki yang dipercayai merokok serta membuang sisa habuk rokok di lantai premis tersebut.
“Fikirlah sikit, habuk rokok tu nak kutip ke? Tak hormat langsung,” katanya.
Wanita itu turut memaklumkan hasratnya untuk membuat laporan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung tindakan individu terbabit.
“Saya ada bukti, saya akan hantar kepada Jabatan Kesihatan,” ujarnya.
Bagaimanapun, lelaki berkenaan dilihat hanya berdiam diri dan tidak memberi sebarang reaksi terhadap teguran tersebut.
Difahamkan, kejadian berlaku di sebuah restoran di Taman Tun Aminah, Skudai, Johor Bahru pada 23 April lalu.
Turut kelihatan dalam rakaman tersebut papan tanda larangan merokok yang diletakkan berhampiran kaunter premis berkenaan.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial, dengan ramai memuji keberanian wanita tersebut, selain menyokong tindakan tegas bagi memastikan peraturan dipatuhi.
“Bagus akak ni tegur. Teruskan hantar bukti kepada jabatan kesihatan negeri terdekat,” kata seorang pengguna.
“Terima kasih kakak sebab berani tegur perokok dalam kedai makan, dan puji juga sikap lelaki itu yang memilih diam tanpa melawan,” kata seorang lagi pengguna.
Untuk rekod, merokok di kawasan larangan seperti premis makanan merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan mengikut peraturan sedia ada.

