KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berpandangan kerajaan perlu meneliti semula pelaksanaan sistem cukai yang lebih menyeluruh termasuk kemungkinan mengembalikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi memastikan kedudukan kewangan negara lebih stabil pada masa hadapan.
Menurut beliau, Malaysia memerlukan sumber pendapatan yang lebih mampan untuk menghadapi cabaran ekonomi global, peningkatan kos subsidi serta kemungkinan berlakunya krisis luar jangka seperti pandemik dan peperangan.
Katanya, sistem percukaian sedia ada dilihat belum cukup kukuh untuk menampung keperluan perbelanjaan negara dalam jangka panjang.
“Kerajaan perlu ada asas hasil yang lebih kuat supaya negara mampu bertahan sekiranya berlaku keadaan luar biasa yang memberi tekanan kepada ekonomi,” katanya ketika menjadi panel dalam Rundingan Meja Bulat Nasional (Rimbun 2.0) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Khairy turut menegaskan bahawa perdebatan mengenai GST tidak sepatutnya tertumpu kepada istilah atau jenama cukai semata-mata, sebaliknya fokus perlu diberikan kepada keberkesanan sistem tersebut dalam menjamin kestabilan kewangan negara.
Beliau berkata, pendekatan percukaian yang adil dan tersusun amat penting bagi memastikan kerajaan mempunyai kemampuan mencukupi untuk menyalurkan bantuan serta menampung keperluan rakyat.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa ketidaktentuan ekonomi dunia ketika ini memerlukan negara membuat persediaan awal dari segi kewangan dan hasil negara.
Program tersebut turut dihadiri beberapa tokoh ekonomi negara termasuk Muhammad Ibrahim, Che Khalid Mohd Noh dan Mohd Irwan Serigar Abdullah.

