Sabtu, 13 Jun 2026

Lelaki agresif, provokasi lepas tak puas hati disaman polis ditahan reman

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki yang dipercayai bertindak agresif dan melakukan provokasi terhadap anggota polis ketika operasi penguatkuasaan lalu lintas berakhir dengan penahanannya awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Basri Sagoni berkata, suspek berusia 25 tahun itu ditahan kira-kira pukul 2.36 pagi di sebuah premis perniagaan di Jalan Dato Senu hasil maklumat dan risikan yang dijalankan oleh sepasukan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

Menurut beliau, kejadian bermula sekitar pukul 8.24 pagi semalam ketika anggota polis sedang menjalankan rondaan dan operasi penguatkuasaan lalu lintas di sekitar daerah Sentul.

“Anggota polis telah mengeluarkan saman terhadap sebuah kenderaan jenis Proton Preve atas kesalahan lalu lintas sebelum didatangi pemilik kenderaan tersebut.

“Lelaki berkenaan kemudiannya bertindak merakam video menggunakan telefon bimbit selain mengeluarkan kata-kata kesat dan melakukan provokasi kerana tidak berpuas hati dengan tindakan saman yang dikenakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Basri berkata, polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenama Infinix bersama kad SIM yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan kes berkenaan.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku merakam video anggota polis terbabit kerana berasa tidak puas hati terhadap tindakan penguatkuasaan yang diambil ke atasnya.

“Video kejadian itu juga dipercayai telah tular di beberapa platform media sosial,” katanya.

Beliau memaklumkan bahawa permohonan reman terhadap suspek telah dibenarkan selama tiga hari bermula hari ini hingga 11 Jun bagi membantu siasatan lanjut.

Selain itu, ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek didapati negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Dalam pada itu, Basri mengingatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.

“Tindakan menghina, mengugut, mengganggu atau menghalang penjawat awam ketika menjalankan tugas adalah satu kesalahan di sisi undang-undang dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melakukannya,” katanya.

Lukhman Razif
Lukhman Razif
lukhman@portalmyberita.com