KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memperkenankan penarikan balik kurniaan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri kepada bekas Pengerusi Felda, Mohd Isa Abdul Samad berkuat kuasa pada 8 Jun lalu.
Jabatan Perdana Menteri Malaysia dalam kenyataan memaklumkan, penarikan balik darjah kebesaran itu dibuat susulan kesalahan jenayah yang dilakukan Mohd Isa yang kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh.
Menurut kenyataan itu, tindakan berkenaan adalah selaras dengan Statut Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia perenggan XXV dan XXVIA yang membenarkan penarikan balik darjah kebesaran sekiranya penerima disabitkan dengan kesalahan.
“Ia juga selaras dengan titah Seri Paduka Baginda berhubung penarikan balik darjah kebesaran sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan pada 7 September 2024 di Istana Negara,” menurut kenyataan tersebut.
Pada Februari lalu, Mahkamah Persekutuan Malaysia telah mengembalikan sabitan dan hukuman terhadap Mohd Isa selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan berhubung kes rasuah melibatkan RM3.09 juta.
Panel tiga hakim memutuskan untuk mengembalikan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi sebelum ini, selepas membatalkan pembebasan terhadap sembilan pertuduhan rasuah.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu didakwa menerima suapan daripada seorang ahli lembaga pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd melalui bekas pegawai khasnya, dalam urusan berkaitan kepentingan tertentu ketika beliau masih memegang jawatan.

