SEREMBAN – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Datuk Mohd. Faizal Ramli menyifatkan pertembungan menentang Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini sebagai cabaran besar, namun yakin Barisan Nasional (BN) mampu mempertahankan kerusi berkenaan.
Mohd. Faizal berkata, pengumuman Aminuddin sebagai calon Pakatan Harapan (PH) di DUN Linggi tidak mengubah keyakinannya, sebaliknya menjadi pemangkin untuk memperkukuh gerak kerja kempen bersama jentera BN di semua peringkat.
“Semalam PH mengumumkan senarai calon mereka dan Menteri Besar akan bertanding di Linggi. Sebagai penyandang, sudah tentu saya akan mempertahankan kerusi tersebut daripada dirampas PH.
“Walaupun Linggi sering digambarkan sebagai kubu kuat BN, ia bukan sesuatu yang boleh dipandang mudah. Saya tetap akan turun padang, berkempen dan memenangi hati pengundi di seluruh kawasan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.
Menurutnya, sebaik sahaja proses penamaan calon selesai, beliau akan memulakan kempen secara menyeluruh dengan memberi tumpuan kepada setiap lokaliti bagi memastikan sokongan pengundi terus memihak kepada BN.
Mohd. Faizal berkata, kekuatan sebenar BN bukan hanya bergantung kepada status Linggi sebagai kubu tradisi parti itu, sebaliknya terletak pada komitmen dan kesepaduan jentera yang bekerja di peringkat akar umbi.
“Saya yakin sekiranya semua jentera bekerja keras di setiap kampung dan taman, insya-Allah BN mampu mempertahankan Linggi daripada dirampas PH,” katanya.
Pertembungan di DUN Linggi dijangka menjadi antara tumpuan utama PRN Negeri Sembilan kali ini apabila Aminuddin memilih meninggalkan kerusi Sikamat untuk bertanding di kawasan yang selama ini dianggap antara kubu kuat BN, sekali gus menjadikan persaingan di kerusi itu lebih sengit.


