KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir melibatkan beberapa kawasan di Semenanjung, Sarawak, Sabah dan seluruh Labuan susulan jangkaan hujan lebat serta angin kencang yang dijangka berlaku sehingga pukul 4 petang ini.
Dalam kenyataannya, MetMalaysia memaklumkan antara kawasan yang berisiko di Semenanjung ialah Jelebu, Seremban, Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin di Negeri Sembilan.
“Hujan lebat turut diramal berlaku di seluruh Melaka dan Johor melibatkan Tangkak, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai, Kota Tinggi serta Johor Bahru,” menurut kenyataan itu.
Di Sarawak, kawasan yang dijangka menerima cuaca buruk ialah Sarikei (Sarikei dan Meradong), Sibu (Sibu), Mukah, Miri (Telang Usan) serta Limbang.
Sementara itu di Sabah, amaran melibatkan kawasan Pedalaman iaitu Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan, selain Pantai Barat serta Kudat.
MetMalaysia turut mengeluarkan amaran yang meliputi seluruh Labuan sepanjang tempoh berkenaan.
Menurut agensi itu, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat petunjuk berlakunya ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir berlaku atau dijangka berterusan melebihi satu jam.
“Amaran ini merupakan amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran,” katanya.
Orang ramai, khususnya penduduk di kawasan yang terlibat, dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap risiko banjir kilat, pokok tumbang serta gangguan perjalanan sepanjang tempoh cuaca buruk berkenaan.


