Isnin, 27 Julai 2026
spot_img
Pilihan RayaSuhaimi tekad sambung agenda pembangunan DUN Kota demi manfaat rakyat

Suhaimi tekad sambung agenda pembangunan DUN Kota demi manfaat rakyat

REMBAU – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota, Suhaimi Aini menegaskan komitmennya untuk meneruskan pelbagai agenda pembangunan yang masih belum dapat disempurnakan, dengan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesejahteraan penduduk di kawasan itu sekiranya diberi mandat semula pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau berkata, tempoh pentadbiran sebelum ini yang hanya berlangsung selama dua tahun lapan bulan menyebabkan beberapa perancangan pembangunan tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya, sekali gus memerlukan kesinambungan bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati rakyat.

“Tempoh mandat yang lalu hanya dua tahun lapan bulan. Banyak lagi perkara yang belum selesai dan saya akan teruskan agenda yang tergendala itu demi kepentingan rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Ngoca Sawah di Kampung Semerbok, di sini, semalam.

Program berkenaan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; ADUN Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar serta Ahli Parlimen Alor Setar yang juga Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden.

Mengulas lanjut, Suhaimi berkata, pendekatan BN yang sentiasa mendekati rakyat akan terus menjadi teras kepimpinannya dalam memahami keperluan masyarakat dan mencari penyelesaian terhadap isu yang dihadapi penduduk setempat.

“Jiwa Barisan Nasional ialah sentiasa bersama masyarakat, hadir mendengar, memahami dan berusaha menyelesaikan setiap permasalahan rakyat. Inilah kepimpinan yang didambakan masyarakat,” ujarnya.

Beliau turut menyifatkan sambutan menggalakkan yang diterima sempena Program Ngoca Sawah sebagai petanda positif terhadap semangat perpaduan dan kerjasama dalam kalangan penduduk DUN Kota.

Menurutnya, penyertaan pelbagai lapisan masyarakat dalam program berkenaan membuktikan hubungan erat antara pemimpin dan rakyat terus diperkukuhkan, sekali gus menjadi asas penting dalam merancang pembangunan yang lebih menyeluruh untuk kawasan tersebut.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-