KUALA LUMPUR – Tular di media sosial dakwaan kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia ke beberapa lokasi di Malaysia menggunakan bot laju dengan bayaran RM1,500 bagi setiap individu.
Dakwaan itu dikongsikan seorang pengguna Threads yang memuat naik beberapa rakaman video dipercayai berasal daripada sebuah akaun TikTok dari negara jiran.
Menurut hantaran tersebut, antara laluan yang didakwa digunakan ialah Kukup, Pontian, Ayer Baloi dan Sanglang.
Malah, apabila ditanya mengenai laluan perjalanan, individu yang didakwa mengendalikan perkhidmatan itu mendakwa pelanggan boleh diambil dari mana-mana lokasi yang dipersetujui.
Rakaman tular itu memaparkan sebuah bot laju sedang bergerak di perairan, selain sebuah lagi bot yang dipenuhi sekumpulan individu dipercayai penumpang.
Berdasarkan keterangan pada salah satu video, perjalanan sejauh kira-kira 65 kilometer itu didakwa hanya mengambil masa sekitar tiga jam.
Pemilik akaun TikTok berkenaan turut mendakwa sebuah bot laju mampu membawa sehingga 27 penumpang dalam satu perjalanan.
Dalam ruangan komen, apabila ditanya mengenai tambang perjalanan ke Tanjung Balai, pemilik akaun itu mendakwa bayaran dikenakan ialah RM1,500 bagi setiap individu.
Akaun berkenaan juga didakwa memberi jaminan perjalanan adalah selamat selain menjawab pertanyaan orang ramai mengenai tambang serta kapasiti bot.
Bagaimanapun, setakat ini lokasi dan tarikh sebenar rakaman itu dirakam belum dapat dipastikan, selain kesahihan dakwaan mengenai kegiatan penyeludupan tersebut masih belum disahkan.
Susulan penularan video berkenaan, orang ramai menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera sekiranya dakwaan itu didapati benar.
“Macam mana boleh lepas, mustahil sekali pun tak pernah bertembung dengan pihak berkuasa. Mohon ambil tindakan segera kalau tak nak makin teruk pendatang dekat Malaysia ni,” kata seorang pengguna media sosial.
Seorang lagi pengguna mendakwa bot yang digunakan sindiket penyeludupan sukar dikejar kerana mempunyai kelajuan tinggi.
“Bukan tak dapat kesan tapi tak dapat kejar bot mereka. Arwah ayah aku pernah cerita kes dia kerja macam ni. Bukan main laju bot mereka, bayangkan empat hingga lapan enjin,” katanya.


