Hiburan"Tetamu paling senior dalam senarai" , Syed Saddiq hantar sendiri kad kahwin...

“Tetamu paling senior dalam senarai” , Syed Saddiq hantar sendiri kad kahwin kepada Tun M

KUALA LUMPUR – Meniti hari bahagia bersama pelakon Bella Astillah, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memilih untuk menghantar sendiri kad jemputan perkahwinannya kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali.

Syed Saddiq, 33, berkata kedua-dua figura berkenaan merupakan antara tetamu paling penting yang diharapkan hadir pada hari perkahwinannya bersama Bella, 31, yang dijadualkan berlangsung pada 10 Oktober depan.

“Hantar sendiri kad kahwin kepada Tun M dan Tun Hasmah.

“Tetamu istimewa paling senior dalam senarai tetapi masih pasangan paling muda di hati!” katanya menerusi satu hantaran di Threads.

Dalam hantaran sama, Syed Saddiq turut mengambil kesempatan mendapatkan petua dan nasihat daripada pasangan berkenaan sebagai persediaan sebelum melangkah ke alam rumah tangga.

Menurutnya, Tun Dr. Mahathir dan Tun Siti Hasmah merupakan pasangan yang paling berpengalaman untuk dijadikan rujukan memandangkan mereka telah mendirikan rumah tangga selama hampir tujuh dekad.

“Nak masuk alam perkahwinan, mestilah kena minta petua daripada pasangan paling berpengalaman di Malaysia,” katanya.

Syed Saddiq turut berkongsi beberapa foto dan video bersama Tun Dr. Mahathir serta Tun Siti Hasmah menerusi hantaran tersebut yang menerima pelbagai respons positif dan doa daripada netizen.

Sebelum ini, Syed Saddiq mengesahkan tarikh pernikahannya dengan Bella telah dipersetujui oleh kedua-dua keluarga, namun mereka pada ketika itu belum bersedia untuk mendedahkan perincian berhubung tarikh tersebut.

Bagaimanapun, pada 18 Ogos lalu, pasangan itu mengumumkan mereka bakal disatukan pada 10 Oktober 2026 di aras 118, Menara Merdeka Maybank.

Syed Saddiq dan Bella dilaporkan mula mengenali antara satu sama lain dengan lebih rapat pada tahun lalu sebelum mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-