PelbagaiJAIM siasat aksi pasangan terlebih mesra, belai dan rangkul di kedai makan

JAIM siasat aksi pasangan terlebih mesra, belai dan rangkul di kedai makan

MELAKA – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) akan menjalankan siasatan berhubung satu klip video tular yang memaparkan aksi mesra sepasang lelaki dan wanita di sebuah kedai makan di Malim Jaya, di sini.

Video berdurasi 11 saat itu memaparkan lelaki berkenaan melentokkan kepalanya di bahu wanita terbabit sebelum dirangkul dan dibelai mesra ketika berada di premis awam.

Perkongsian tersebut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang rata-rata menganggap aksi berkenaan kurang sesuai dilakukan di tempat awam, meskipun pasangan terbabit mempunyai ikatan sah sebagai suami isteri.

Selain itu, terdapat dakwaan dalam ruangan komen bahawa kedua-duanya merupakan pelajar sebuah institusi pengajian tinggi di sekitar Malim Jaya, namun perkara tersebut masih belum dapat disahkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, JAIM akan mengenal pasti identiti pasangan terbabit termasuk status hubungan mereka.

“JAIM akan siasat perkara ini termasuk mengenal pasti sama ada mereka suami isteri atau sebaliknya.

“Kita juga akan melihat dari sudut peruntukan undang-undang syariah yang berkaitan sekiranya terdapat unsur perbuatan tidak sopan di tempat awam,” katanya ketika dihubungi media.

Menurut beliau, walaupun pasangan tersebut mempunyai ikatan perkahwinan, perbuatan sedemikian tetap dianggap kurang sesuai dilakukan secara terbuka kerana perlu menjaga adab dan sensitiviti masyarakat.

“Walaupun mereka suami isteri, aksi sedemikian tetap kurang sesuai dilakukan di khalayak ramai kerana kita perlu menjaga adab dan kesopanan.

“Tindakan berkaitan perbuatan tidak sopan di tempat awam boleh diambil mengikut peruntukan di bawah Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991,” katanya.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-